Thursday 25 August 2016

Kahwin Dengan Kekasih Lama - [Bab 2]


Bab 2

BADRINA BERANG. Hari ini dia bertunang selepas sembahyang jumaat. Itu kata mama dia tadi semasa mereka sarapan pagi. Patutlah abang Badri balik rumah, rupanya adik nak bertunang. Kalau tidak, memang tidaklah abangnya itu hendak nampak batang hidung kalau tidak di hujung minggu semenjak lelaki itu mempunyai rumah sendiri yang berdekatan dengan tempat kerjanya.

           Sanak saudaranya dari kedua belah papa dan mamanya sudah mulai datang ke rumah mereka. Tidaklah banyak, hanya golongan orang-orang tua sahaja, sebab acara bertunang. Sudah menjadi adat mereka, orang-orang muda tidak perlu hadir kalau acara bertunang, hanya orang-orang tua sahaja.

            Apa yang membuatkan Badrina bertambah berang lagi bila kunci keretanya juga turut disita oleh si abang. Memang geram betul. Macam mana mereka tahu dia ingin melarikan diri. Walaupun dia kenal dengan Badrul, tapi tidak semestinya dia bersetuju akan bertunang. Salah ke kalau dia tahu dengan nama penuh lelaki?

            Tok! Tok! Tok!

            Qistina masuk ke dalam biliknya. Aras bawah di rumahnya sudah mula kedengaran riuh rendah. Adiknya pula juga sudah siap dengan pakaian cantik. Di dalam bilik besar Badrina ini ada dinding di tengah-tengah memisahkan ruang kerja atau ruang rehatnya dan juga ruang katilnya. Badrina yang ketika itu sedang melakukan push-up tidak menghiraukan kedatangan adiknya itu.

            “Kak Rina, rombongan lelaki sudah sampai. Mama cakap kak Rina harus siap-siap untuk sarung cincin,” push-up Badrina terhenti setelah mendengar perkhabaran daripada Qistina.

            Qistina hanya mampu mengeluh kecil melihat kerenah kakaknya. Push-up dengan baju kebaya ketat, memang tahap stress kakak dia ini sudah tinggi agaknya. Selepas sahaja Qistina memaklumkan tentang kedatangan keluarga belah pihak lelaki, Badrina terus sahaja pergi ke meja soleknya dan langsung sahaja memulakan menempek solekan di wajahnya.

            “Apa kak Rina akan buat dekat abang Badrul lepas ini?” Badrina yang ketika itu sibuk dengan alat soleknya tiba-tiba terhenti bila mendengar adiknya menggelarkan si bakal tunang kepada abang Badrul. Amboi, bukan main lagi, siap sudah ada gelaran abang Badrul.

            “Apa maksud adik dengan abang Badrul ni? Sejak bila panggil dia dengan panggilan abang tu? Belum tentu abang Badrul adik tu suami kak Rina tahu. Orang bertunang lagi boleh putus di pertengahan jalan.”

            “Hish, janganlah kak Rina cakap macam itu. Adik tengok abang Badrul tu bukan main lagi gentleman. Dia boleh jawab semua soalan-soalan yang papa dan abang Badri.”

            “Soalan-soalan macam mana tu?”

            “Banyak. Adik tengok abang Badrul jawab saja dengan tenang. Tidak kalut dan penuh dengan keyakinan. Sebab itu papa dengan abang setuju sahaja dengan peminangan ini. Parents abang Badrul pun ada sekali. Nampak dari keluarga orang baik-baik kak.”

            Badrina mengeluh dalam diam sambil menyambung kembali menyolek wajahnya. Dengan professionnya sebagai tukang solek professional, baginya bersolek dalam beberapa minit hanyalah perkara biasa buat dirinya.

            Hailah adik, memanglah keluarga dia dari orang baik-baik. Dia pun tahu perkara itu sejak dahulu lagi. Tengok dari gambar-gambar yang pernah dikongsikan oleh Badrul dahulu pun Badrina sudah tahu keluarga Badrul ini jenis yang macam mana. Bagi Badrina dia tidaklah kisah dengan perkara itu, sebab, alah Badrul belakang-belakang bukan main gatal. Macam lelaki lain juga gatal dia. Bercakap mengenai perkara seks itu adalah normal. Tidak tahulah sekarang dia macam mana, tetapi kalau merujuk dengan sikap mereka dahulu, fuhhhhh memang malas nak cakap dah.

            “Don’t ever judge the book by its cover wahai Qistina ku sayang. Seperti kak Rina juga, akak tidak bersetuju dengan pertunangan ini bukan kerana kak Rina tahu orang itu, malah kak Rina tahu siapa sebenarnya lelaki yang bernama Badrul Ilham. Bagi kak Rina dia itu lelaki pengontrol.”

            “Macam mana kak Rina tahu abang Badrul adalah lelaki pengontrol?” soalan Qistina ini memang membuatkan Badrina keluh resah sahaja. Dia kalau boleh tidak mahu memberitahu kepada ahli keluarganya bahawa dia mengenali Badrul sudah lama. Kekasih lama kot. Sembilan tahun yang lalu. Jangka masa yang sesuai untuk move on.

            “Ehem, biarlah kak Rina dan dia sahaja yang tahu. Adik budak-budak, tak boleh masuk campur.” Badrina melayangkan berus soleknya persis menghalau Qistina keluar dari biliknya.

            Qistina tidak puas hati dengan jawapan daripada kakaknya. Dengan berpeluk tubuh, Qistina masih melihat kelakuan si kakak, “Ini mesti ada sejarah tersirat di mana-mana. Kongsilah dengan adik. Kak Rina ada langgar kereta dia tepi jalan ke? Ala macam cerita-cerita dalam novel, bertemu jodoh di jalan. Tak pun tertumpah minuman di restoran.”

            Bibir Badrina sudah terlopong luas mendengar serkap jarang si adik. Walah, bukan main lagi jauh angan-angan Qistina ini. Mentang-mentanglah hantu novel, boleh pula dia hendak terapkan benda-benda macam itu kepada kehidupan kakaknya ini. Heh.

            “Wow dik, kau punya storyline memang awesome. Tip-top punya angan-angan. Very unexpected. Akak bagi lima bintang,” jelingan tajam dihadiahkan kepada Qistina sebelum dia menyambung solekan ke wajahnya.

            “Hish bosanlah kak Rina ni. Itupun nak berahsia jugak. Kata sisters,” bukan main lagi Qistina mendengus dengan rasa tidak berpuas hati terhadap kakaknya.

            “Some secrets meant to be secrets, my dear.”

            “Tak apa, adik akan korek benda ini dari abang Badrul sendiri. Adik pasti abang Badrul akan kongsi rahsia kak Rina dengan dia,” belum pun sempat Badrina membalas, Qistina sudah melangkah keluar dari biliknya. Badrina sudah berdecit malas sambil mengherotkan bibirnya seksi.
           
 ‘Sebelum kau tanya yang bukan-bukan kepada dia wahai adikku sayang, aku akan warning so-called abang Badrul kau itu supaya tutup mulut.’


BADRINA menjadi tunangnya, sungguh dia tidak percaya. Dia yang ketika ini setia berada di dalam kereta menunggu di luar perkarangan rumah si tunang, hanya menunggu masa sahaja lagi untuk dipanggil masuk ke dalam rumah untuk sesi bergambar.

            Adik perempuannya, Afrina tadi sempat menghantar rakaman video dan juga gambar-gambar ketika umminya menyarungkan cincin ke jari manis Badrina. Bila Badrul melihat rakaman yang dihantar oleh Afrina, dia tersenyum lebar. Badrina yang dia kenal sembilan tahun dulu sudah semakin matang.

            Tapi hmmm, baju kebaya ketat. Masih dengan sikapnya yang dahulu rupanya. Wajah umminya juga bukan main lagi tersenyum lebar. Semakin cantik. Semakin bergaya. Kalau dulu badan tunangnya ini sedikit gempal. Tapi itulah yang dia suka. Sekarang dari gambar itu, fuhhh that curvy really something. Nampak dia seorang yang jenis workout.

Boleh pula umminya ini menerima Badrina dengan hati yang terbuka. Masih dia terkenang bila dia mencadangkan untuk meminang Badrina kepada orang tuanya. Terkejut tapi dia bertegas ingin meminang Badrina untuk menjadikan isterinya.

“Ummi,” ucap Badrul pada malam itu. Puan Laila yang ketika itu duduk di ruang tamu sambil melipat baju-baju dengan mulut yang laju sahaja melarang adik bungsunya yang baru sahaja masuk lapan tahun itu lantas sahaja menoleh bila dirinya dipanggil oleh si anak sulungnya.

“Ya kenapa?”

“Along rasa nak kahwinlah ummi,” bila sahaja Badrul menyebut akan perkataan kahwin, semua pergerakan umminya yang sedang melipat baju terus sahaja berhenti. Anak matanya kaku melihat wajah Badrul. Si anak pula hanya menunggu reaksi dan jawapan daripada umminya dengan hati yang penuh berharap dan risau. Berharap umminya itu setuju akan niatnya dan risau jikalau umminya itu tidak setuju dengan pilihan hatinya.

“Along serius ke ni?” langsung sahaja Badrul menganggukkan kepalanya sebagai tanda jawapan akan pertanyaan daripada Puan Laila itu.

“Dah beritahu dekat ayah pasal ini?” tanya Puan Laila lagi.

“Belum ummi, along baru beritahu dekat ummi sahaja.”

Puan Laila diam sejenak malah tangannya pula terus sahaja menyambung kerjanya yang tergendala sebentar tadi.

Bila melihat akan reaksi daripada umminya, Badrul semakin risau. Umminya ini setuju atau tidak?

“Ummi ok tak ni?”

Belum pun sempat Puan Laila menjawab pertanyaan Badrul, tiba-tiba kedengaran bunyi kereta masuk ke kawasan rumah mereka. Amat tahu akan bunyi deruman kereta itu, itu menunjukkan Tuan Ramlee sudah sampai dari masjid.

“Kamu tanyalah dekat ayah kau tu.”

Dengan penuh berdebar, Badrul menunggu sehingga ayahnya itu masuk ke dalam rumah mereka.

“Assalamualaikum,” ucap Tuan Ramlee ketika dia membuka pintu utama rumah mereka. Lantas sahaja mereka menjawab salam Tuan Ramlee dengan serentak.

“Awal kamu balik hari ini long,” sapa Tuan Ramlee sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang berdekatan dengan isterinya.

“Anak abang ini ada hajat besar, sebab itu dia awal balik sini,” ucap Puan Laila.

“Hajat apa pula long?” tanya Tuan Ramlee.

“Along nak suruh ayah dengan ummi pinangkan Badrina,” bukan main lagi berkerut kening kedua-dua orang tua Badrul bila sebaris nama itu disebut oleh anak lelaki mereka ini.

“Kenapa macam ummi familiar saja dengan nama itu along?” tanya Puan Laila.

“Siapa pula tu?”

“Bakal isteri along, hehe,” bukan main lagi Badrul tersengih selepas dia menjawab pertanyaan daripada Tuan Ramlee dan Puan Laila.

Tuan Ramlee berfikir sejenak akan hajat anak sulungnya ini, manakala Puan Laila pula hanya mendengus geram akan jawapan main-main daripada Badrul. Tidak lama kemudian, umminya ini bangkit dari tempat duduknya lalu bergerak ke ruang dapur. Hendak menyediakan makan malam mereka sekeluarga.

“Orang mana bakal isteri along ini?”

Sebaris senyuman lantas sahaja terbit dari bibir Badrul tika ayahnya bertanyakan mengenai Badrina. “Sekarang dia tinggal di KL ayah. Dekat Sri Hartamas.”

Tuan Ramlee berfikir sejenak. Mendengar nama tempat tinggal Badrina sudah membuatkan lelaki yang berumur pertengahan 50 tahun ini dapat mengagak gadis yang hendak dipinang oleh Badrul adalah anak orang ada-ada.

“Macam mana along kenal dengan Badrina?” tanya Tuan Ramlee lagi. Ini kerana, tiba-tiba sahaja anak sulungnya ini memperkenalkan sebaris nama itu kepadanya. Sebelum dia bersetuju untuk meminang gadis pilihan Badrul, adalah lebih baik dia menyiasat sedikit sebanyak mengenai gadis tersebut.

“Kenalan lama ayah. Bekas kekasih lama along sebenarnya, tapi dah lama tidak berhubung. Badrul memang sudah lama berkenan dengan dia, tapi itulah, dulu-dulu tu jiwa muda. Semua tak kena.”

“Kalau sudah lama berkenan, kenapa dulu tidak beritahu ayah dengan ummi?” Badrul hanya mampu menghela nafas kesal mendengar persoalan daripada ayahnya itu.

“Susah ayah. Ini pun Badrul tahu dia di mana sebab tertengok FB dia dekat FB Afrina. Rupa-rupanya selama ini mereka berkawan dalam Facebook sahaja. Tegur tidak sama sekali.”

“Jadinya Badrina tidak tahulah ni along nak meminang dia?” semakin risau pula hati tua Tuan Ramlee bila anaknya memaklumkan mengenai perkara ini. Hendak merisik anak dara orang ini bukan perkara yang senang. Silap-silap keluarga di sana tidak menerima pinangan mereka, malu akibatnya nanti.

Bila melihat Badrul hanya mengelengkan kepalanya, Tuan Ramlee hanya mampu mengeluh. Macam-macam kerenah. “Macam mana kami nak pinang kalau Badrina tidak tahu?”

“Badrul akan ikut serta ketika ayah dan ummi pergi merisik nanti,” ujar Badrul dengan penuh yakin. Dia juga ingin berjumpa sekaligus membuktikan bahawa dia boleh dan mampu menjadi suami kepada Badrina.

“Baiklah,” putus Tuan Ramlee. Biarlah kali ini dia mengikut sahaja pilihan hati Badrul. Amat susah melihat sebaris senyuman anak sulungnya itu sejak kebelakangan ini. Hanya beberapa bulan ini sahaja barulah senyuman itu ada terbit. Itupun sekejap-sekejap sahaja. Tetapi setiap perubahan walaupun kecil akan memberikan impak yang besar di masa hadapan. Insya Allah.

“Siapa nama penuh Badrina?”

“Nur Badrina binti Haji Qamarul.”

“Umur?”

“25 tahun,” jawab Badrul cepat. Hmmm, hanya alat dua tahun daripada Badrul. Anaknya itu pula berumur 27 tahun.

“Kerja?”

“Tak kerja. Tetapi dia kerja di Youtube sebagai tukang ajar solekan atau pergi mengajar kursus solekan,” berkerut kedua kening Tuan Ramlee bila mendengar tentang pekerjaan gadis pilihan Badrul.

“Kamu yakin ingin memperisterikan Badrina?”

“Ya ayah, along yakin.”

Lamunan terhenti bila adiknya yang ketiga sudah mengetuk pintu kereta dari luar. Anak mata Badrul lantas sahaja melihat di mana adiknya itu berada. “Kenapa Syafiq?”

“Ummi dah suruh along masuk. Ayah dengan ummi dah nak balik. Kami semua ikut ayah dengan ummi juga. Along macam biasalah ya seorang-seorang kat sini,” pesan Syafiq kepada alongnya.

Badrul langsung sahaja menganggukkan kepalanya dengan memberikan tanda ok kepada adiknya. Cermin yang terletak di hadapannya terus sahaja di tatap. Ingin mengemaskan baju cara melayunya sebelum berjumpa dengan Badrina buat pertama kali.

Pin! Pin! Hon berbunyi di hadapan keretanya. Terkejut hati Badrul yang masih melihat penampilannya. Nampak sebuah kereta Hyundai H1 putih milik keluarganya berderum melintasi keretanya. Buli akulah tu.

Sesudah berpuas hati dengan penampilannya, Badrul keluar dari dalam perut keretanya. Langkah diatur kemas menuju ke dalam rumah. Ahli keluarga tunangnya masih ada yang duduk di dalam khemah yang disediakan sambil bercerita sesama sendiri. Badrul dengan mesra menghulurkan tangan dan bersapa mesra dengan mereka semua sebelum dia ditarik untuk masuk ke dalam rumah.

“Hah yang ini mesti Badrul kan? Tunang Rina?” tiba-tiba sahaja ada seorang mak cik, mungkin mak cik Badrina terus sahaja menyapanya dari dalam rumah.

“Ya saya mak cik.”

“Panggil sahaja Mak Yati ya Badrul. Lekas masuk ke dalam. Rina dah lama menunggu untuk sesi bergambar sempena kamu bertunang,” ucap Mak Yati sambil membawa dia masuk ke ruang tamu rumah itu.

Masuk sahaja ke ruang tamu, anak mata Badrul terlihat satu pelamin kecil khas untuk acara bertunang. Cantiklah pula. Setahu dirinya, hanya dua hari sahaja dia memberikan tempoh untuk menyediakan acara bertunang selepas merisik.

Di atas pelamin tersebut kelihatan seorang gadis yang memakai baju kebaya sama warna dengan baju cara melayunya. Badrina. Dia tahu itu Badrina. Gadis itu tidak menyedari akan kehadirannya kerana Badrina begitu ralit bermain dengan iPhone 6 di tangan. Terus sahaja Badrul melangkah menghampiri Badrina.

“Hai,” tatkala Badrul menyapa begitu kepada Badrina, terus sahaja tunangnya ini memanggungkan kepalanya. Bukan main lagi anak mata Badrina terbuntang melihat akan kehadirannya di situ.

“Ha.. Hai,” balas Badrina.

Buat pertama kali mereka bertentang mata. Buat pertama kali mereka bersua muka. Buat pertama kali mereka mendengar suara masing-masing di realiti.

Sungguh indah. Sembilan tahun. Jangka masa yang lama bagi mereka berdua yang bergelar bekas sepasang kekasih.

            Dua hati yang berdebar ketika ini akan Badrul usahakan ia menjadi satu.


================================================
how is it?

Wednesday 24 August 2016

Kahwin Dengan Kekasih Lama - [Bab 1]


Bab 1

MELANGKAH sahaja Badrina dari perkarangan lapangan terbang, hatinya semakin berdegup kencang. Sepertinya macam ada yang tidak kena sahaja. Apabila dia menghubungi adik perempuannya, si gadis kecil itu hanya memaklumkan bahawa keluarga mereka baik-baik sahaja. Sejak dia melakukan marathon di Singapura sudah bagai ada yang tidak kena. Dia resah. Semasa berlari pun dia merasa resah. Apa yang dia risaukan pun dia tidak tahu sebenarnya. Hendak memikirkan perniagaan, dia mana ada perniagaan. Hanya memberikan kursus solekan dan dandanan sahaja dan memuat naik rakaman video bagaimana hendak bersolek. Itu sahaja yang dia buat.

            Anak mata Badrina lantas sahaja melihat teksi-teksi yang berkeliaran di situ, tidak ketinggalan juga dengan teksi sapu turut ingin mencari rezeki. Namun, Badrina terus sahaja melangkah ke salah sebuah teksi di situ. Apabila begnya sudah selamat dimasukkan ke dalam bonet teksi tersebut, Badrina langsung sahaja masuk ke dalam teksi.

            “Kita pergi ke Sri Hartamas ya pak cik.”

            “Baik cik.”

            Sepanjang perjalanan mereka ke Sri Hartamas, Badrina berusaha untuk menenangkan fikirannya. Baru sahaja setengah perjalanannya menuju ke tempat tinggal orang tuanya, telefon bimbitnya bordering kuat sehingga membuatkan dirinya dan juga pak cik teksi tersentak. Memang sudah lumrah bagi seorang Badrina, haruslah volume itu dibesarkan. Alamat, memang tidak akan sedar ada orang cuba menghubungi dirinya.

            “Ya mama? Rina baru saja sampai ini, on the way balik rumah,” setelah mengiyakan pertanyaan daripada mamanya, Badrina lantas menutup semula telefon bimbitnya. Matanya kembali tertutup. Ingin menghilangkan lelah. Nasib baik teksi pak cik ini berbau wangi, tenang otak fikiran dia. Sejuk pula tu. Kalau tidak memikirkan dia hanya keseorangan menjadi penumpang di teksi tersebut, memang dia sudah melentok tidur.

            Dengan kepala yang berat, Badrina tahan juga menongkat mata yang sudah semakin berat. Tidak lama saja lagi mereka akan sampai ke rumahnya. Apabila teksi sudah masuk ke kawasan Sri Hartamas, pak cik teksi terus sahaja bertanya alamat rumahnya. Tanpa berlengah lagi terus sahaja menunjukkan di mana rumahnya.

            Selang beberapa minit kemudian, mereka sudah pun selamat sampai di perkarangan rumah milik keluarga Badrina. Rumah teres dua tingkat yang bertaraf elit itu dipandang sekilas. Semua kereta keluarganya berada di situ. Lebih mengejutkan bila kereta abang sulungnya juga turut berada di situ. Aik, hari perkumpulan sedunia ke ni?

            Selepas Badrina memberikan duit kepada pak cik teksi tadi, dia terus sahaja membuka kunci pagar di situ, lalu masuk ke rumah. Dari luar sudah kedengaran suara mamanya berkicauan dari ruang dapur. Suara dari kaca televisyen di ruang tamu juga kedengaran. Mungkin papanya dan abang sulungnya sedang menonton televisyen.

            Tanpa mengetuk pintu utama rumah mereka, Badrina terus sahaja masuk ke ruang tamu. “Assalamualaikum orang-orang rumah.” Bukan main lantang lagi Badrina melontarkan suaranya sehingga seluruh seisi rumah bisa terperanjat akan kedatangannya ketika ini.

            “Waalaikumsalam.” Memang benar telahan Badrina, papanya dan abang sulungnya sedang beristirehat di ruang tamu sambil melihat rancangan Maharaja Lawak Mega. Papa dana bang sulungnya hanya mampu menggelengkan kepala mereka bila melihat kedatangan dirnya sebelum mereka menyambung melihat televisyen.

            Langkah kaki Badrina terus sahaja ke biliknya di tingkat atas rumah mereka. Ingin melepaskan lelah. Beg pakaian hanya mampu dilemparkan di sudut tempat baju-baju basah. Tanpa menukar pakaiannya, Badrina langsung sahaja melambungkan badannya ke atas katil miliknya. Nyaman. Sedap. Empuk. Sikit masa lagi Badrina boleh terlena.

            Belum pun sempat Badrina masuk ke alam mimpinya, pintu biliknya selamat dirempuh oleh Puan Katrina. Badrina hanya mampu memanggungkan kepalanya sambil mencelikkan matanya melihat mamanya berjalan menghampiri katilnya.

            “Kenapa mama?” Badrina kembali meletakkan kepalanya atas bantal. Birai katilnya terluak kerana Puan Katrina melabuhkan punggungnya di situ.

            “Nasib baik Rina balik hari ini,” ucap Puan Katrina memulakan bicara di antara mereka berdua.

            Kening Badrina bertaut, sedikit hairan akan kata-kata daripada mamanya. Kenapa pula nasib baik kalau dia balik hari ini?

            “Kenapa pula Rina bernasib baik? Ada apa-apa hal yang penting ke?” Badrina mengiringkan badannya lalu menongkatkan kepalanya dengan tangan kanan menghadap Puan Katrina.

            “Esok kita ada acara dekat sini. Rina ada baju kurung yang cantik-cantik tak? Mama tengok ada juga baju Rina sesuai untuk acara esok,” anak mata Puan Katrina laju sahaja melirik ke almari pakaian milik Badrina.

            Usai sahaja mamanya berkata begitu, lagilah Badrina menjadi hairan. Acara apa pula? Gaya mamanya ini pula macam orang bersalah sahaja. “Acara apa mama? Kenapa Rina tidak tahu pun? Selalunya kalau ada acara, laju saja adik update dekat grup Whatsapp.”

            “Semalam ada satu keluarga datang sini. Mereka hendak meminang.”

            Hati Badrina tiba-tiba sahaja laju berdegup. “Pi… Pi… Pinang siapa? Adik ke?”

            “Hish, apa pulak pinang adik. Baru saja lepas SPM. Tak adanya papa kamu setuju kalau adik kamu dulu yang kena pinang.”

            Badrina terus sahaja terdiam bila mendengarkan penjelasan daripada Puan Katrina. Bukan sebab apa, hanya dia dan adiknya, Qistina sahaja anak perempuan kepada Tuan Qamarul, papa mereka. Badri pula abang sulung mereka.

            “Habis tu ada yang nak pinang abang Bad ke?” saja Badrina kemukakan soalan begitu kepada mamanya. Tidak mahu menampakkan dia sudah dapat tangkap hint yang diberikan oleh Puan Katrina.

Dia bukan apa, manalah tahu ada yang terlebih berani pinang abang Badri. Sudahlah abangnya itu digelar Mr. Stone, sebab dekat pejabat serius bukan main. Kalau dia pergi ke pejabat abang Badri, memang susah sangat hendak melihat senyuman daripada si abang kepada para pekerjanya.

“Apa pula abang kamu yang kena pinang. Hish budak inikan. Kamulah yang kena pinang. Papa kamu sudah setuju dengan pinangan mereka dan esok pula acara bertunang. Sebab itu mama tanya kamu tu ada baju kurung yang sesuai untuk esok ke tidak. Kalau tidak ada, sekarang juga kita boleh beli.”

Laju sahaja Badrina bangkit dari tempat pembaringannya lalu melihat wajah mamanya dengan raut wajah yang tidak percaya. Berita mengenai ada orang meminang dirinya dia boleh terima lagi. Tetapi kalau sudah esok pula bertunang, ini tidak boleh jadi! Esok tu esok!! Kenapa papa dan mamanya tidak berbincang dengan dia dulu. Dia yang nak kahwin, bukan orang lain. No!!!!

Tanpa berkata apa-apa kepada mamanya, Badrina terus sahaja berlari ke ruang tamu, di mana papa dan abangnya berada. “Papa! Apa ni!”

Bukan main tersentak lagi Tuan Qamarul dan Badri apabila suara lantang Badrina sudah kedengaran ke seluruh rumah mereka. “Kenapa pula ni sampai besar-besar suara. Papa tak suka. Jangan rude sangat.”

Badrina menghela nafas kasar sebelum dia melabuhkan punggungnya disalah satu kerusi yang berdekatan di situ. “I’m sorry papa.”

“Kenapa ni tiba-tiba menjerit satu rumah boleh kedengaran?” kata Tuan Qamarul. Hati tuanya tahu asbab musabab anak perempuannya ini menjerit. Ini mesti isterinya sudah memaklumakan mengenai acara pertunangannya esok.

“Rina tak nak bertunang esok. Muktamad. By hook or by crook, Rina tak nak bertunang. Siapa dia? Sekurang-kurangnya papa tanyalah Rina dulu, mahu ke tidak bertunang. Suruh Rina berjumpa dengan dia ke. Janganlah nak buat conclusion macam ini papa. Please papa, cancel it.” Muka Badrina sudah siap meminta simpati daripada papanya sehingga membuatkan Badri tersengih melihat kerenah si adik.

“Apa sengih-sengih, sukalah tu Rina kena tunangkan dengan stranger.” Kaki si abang ditendang dengan rasa geram. Bukan main lagi Badri berdecit setelah menerima tendangan padu Badrina.

“Papa, janganlah tunangkan Rina dengan stranger. Papa juga yang cakap jangan mudah percaya dengan stranger.”

“Selalunya adat jodoh macam itulah Rina, from strangers to lover. Tak gitu kan papa.” Kedua kening Badri sudah mula menjongket-jongket nakal menyakat Badrina. Ini yang dia tidak suka bila si abang sudah mengeluarkan sifat pembuli yang amatlah terpendam.

Tuan Qamarul hanya mampu menggelengkan kepala bila melihat anaknya yang sulung itu sudah ingin membuli si adik. Jarak umur mereka yang hanya tiga tahun itu membuatkan mereka berdua ini rapat. Lain pula dengan anak bungsunya yang mempunyai jarak lapan tahun dengan Badrina. Unexpected and unplanned child.

“Dia kenal Rina sejak Rina tingkatan tiga lagi. Kalau sudah dari tingkatan tiga, mestilah dia kenal dengan Rina kan.”

Kali ini Puan Katrina yang turun tangga dari tangkat atas pula menyambung kata-kata daripada papanya, “Dia cakap dia kenal Rina sudah lama, siap boleh sebut nama penuh Rina lagi. Takkan Rina tidak kenal dengan dia? Nama dia Badrul Ilham.”

“Hah! Badrul Ilham?!”

Kini tiga pasang anak mata dari kedua orang tuanya dan abang Badri tunak memandang Badrina yang ketika itu dalam keadaan terkejut yang bukan kepalang.

“Badrul Ilham bin Ramlee?” tanya Badrina lagi.

Bertambah terkejut lagi bila ketiga-tiga mereka mengiyakan soalan daripada Badrina dengan anggukkan dikepala mereka.

See, not strangers anymore since Rina juga tahu nama bakal tunang. Nama penuh pulak tu,” sakat Badri.

Macam mana pula dia tidak kenal dengan lelaki yang bernama Badrul Ilham, itu kekasih lama dia dulu semasa tingkatan tiga. Mereka berdua adalah sepasang kekasih hanya di alam maya, berjumpa pun gitu-gitu saja. Putus semasa tingkatan empat. Pembetulan. Diputuskan! D.I.P.U.T.U.S.K.A.N.

Ini tidak boleh jadi. Dia tidak mahu bertunang dengan Badrul Ilham. Lelaki itu putuskan dia dulu pun sebab Badrina sering sahaja mungkir janji. Yelah, dulukan zaman MSN. Tidak di MSN, mereka akan berchatting di Mig33. Sekarang kedua-dua aplikasi memang sudah pupus. Mig33 mungkin masih ada tapi tidak tahulah apa sudah jadi. Nama akaun pun dia sudah lupa.

Memang Badrina suka mungkir janji. Umur masa itu masih enam belas tahun, darah masih muda. Apatah lagi di dunia alam maya terlalu banyak kenalan lelaki. Badrul pula jenis kontrol gaya hidup sosialnya dulu. Badrul cakap jangan chatting dengan lelaki lain melainkan dirinya, Badrina ingkar. Ala, bukan dia tahu pun. Tapi last-last ketahuan juga. Badrul cakap jalan keluar mesti pakai tudung, Badrina iyakan sahaja, tapi mana ada Badrina pakai pun. Badrul cakap jangan tinggal sembahyang, Badrina iyakan juga. Berlakonlah tidak balas mesejnya dalam sepuluh ke lima belas minit, konon sembahyang, padahal sibuk chatting dengan lelaki lain.

Nampak memanglah dia seorang lelaki yang baik, Badrina pun sayanglah juga dengan Badrul. Muka pun hensem budak-budak. Otak pun geliga. Tetapi ada bonus juga. Badrul ini jenis merenyam. Kalau tak mintak gambar seksi memang tidak sah. Badrina pun sama juga dua kali lima dengan Badrul. Benda-benda otak kuning Badrina belajar dari Badrullah. He is the master. Memang sesuai sangat, dua-dua bad-bad couple.

Hish seriau betul bila mengenang kisah lalu. Sembilan tahun mereka tidak berhubung, siapa tidak terkejut tup-tup orang yang memutuskan itulah yang masuk meminang. Sewel ke apa? Ini tidak boleh jadi.

No no. Jangan Badrul Ilham. Aku tak nak!

Tanpa pamitan Badrina bangkit dari tempat duduknya lalu berlari ke atas menuju ke biliknya. MacBook terus sahaja dibuka. Sambil menunggu komputernya buka, Badrina mencari passportnya di dalam beg kecil yang dibawanya tadi.

Aik, mana pula passport aku ini? Habis beg kecil itu diselongkar. Badrina rasa tidak puas hati, segala isi-isi dalam beg itu dituang keluar. Tiada! Macam mana pula tiba-tiba passportnya tidak ada. Dia baru sahaja balik dari Singapura, mestilah kena ada passport.

Kalau tidak ada passport macam mana dia mahu melarikan diri. Dia ini membawa diri ke Beijing pada saat itu juga. Ughhhhh! Stress kalau macam ini. Beg pakaiannya juga turut menjadi mangsa diselongkar. Habis baju-baju basahan Badrina tercampak ke sana sini. Badrina tidak puas hati.

Tiba-tiba, muka pintunya diketuk dari luar. Selepas sahaja Badrina menyahut menyuruh masuk, tombol pintu biliknya dipulas dari luar. Tersembul batang tubuh adiknya, Qistina. Adiknya itu langsung sahaja menutup pintu biliknya rapat sebelum dia berjalan menuju ke katilnya lalu duduk di situ.

“Kenapa dik?” tapi mindanya masih memikirkan di mana passportnya berada.

“Kak Rina cari passport ke?” mendengar sahaja Qistina menyebut passport, Badrina memakukan pandangannya kepada gadis yang berumur tujuh belas tahun itu. Laju sahaja kakinya mendekati di mana Qistina berada.

“Adik tahu ke di mana passport kak Rina?” Bulat terus anak mata Badrina bila melihat anggukkan daripada si adik.

So, where is it?

“Mama yang ambil tadi, adik nampak.”

“Apa?!”

“Ya, adik nampak. But I rest my case after that, tak nak masuk campur. Adik tahu kak Rina mesti marah.”

Merah padam wajah Badrina menahan amarah yang ada. Ya dia marah. Memang marah!


Mama. Papa. Badrul Ilham! This is totally not my day!!

==============================================