Thursday, 13 August 2015

Cerpen : KEJUTAN

ACARA PERNIKAHAN diantara Dinah dengan Syed Akhbar sungguh meriah di rumah keluarga Syed Akhbar sendiri. Memandangkan Dinah yang hidup sebatang kara dibumi Malaysia ini, hidup bersama keluarga Syed Akhbar sudah seperti keluarganya sendiri. Dinah mula mengenali keluarga Syed Akhbar melalui teman baiknya iaitu Syed Akid. Sungguh rapat sehingga banyak orang fikir Dinah dan Syed Akid akan menjadi suami isteri suatu hari nanti sehinggalah Syed Akid memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis yang berasal dari Melaka, Anis. Hasil dari perkahwinan daripada Syed Akid dengan Anis, mereka di kurniakan seorang bayi anak lelaki yang terlebih comel mengikut papanya. 100% copy paste.

            Hari ini adalah hari pernikahan di antara Dinah dan Syed Akhbar, iaitu along kepada Syed Akid. Dinah ditempatkan di bilik bahagian barat villa keluarga Syed Abdul Wali, atok kepada Syed Akhbar dan Syed Akid. Sudah menjadi tradisi keluarga Syed Abdul Wali, setiap bahagian villa adalah kepunyaan anak-anak tertentu. Yang penting mereka masih di dalam satu kawasan. Manakala bilik Syed Akhbar pula ditempatkan dibahagian utara villa keluarga mereka.

            Riuh-rendah. Itulah suasana yang dapat digambarkan pada masa sekarang. Sepupu sepapat sudah berlari ke sana ke sini untuk menghias diri mereka sendiri. Itu belum termasuk cucu-cucu yang kebanyakkannya masih kecil. Nasib baik villa Syed Abdul Wali ini teramatlah besar. Namun meriahnya tetap terasa.

            “Dinah, kamu sudah siap?” Puan Norani masuk ke bilik persalinan Dinah. Dia yang ketika itu sedang melayan perasaannya sedikit tersentak mendengar teguran daripada ibu angkatnya. Terus sahaja ibu kepada Syed Akid duduk di kerusi kecil yang terletak di sisi katil kepunyaan Dinah.

            Segaris senyuman dihadiahkan kepada Puan Norani. “Sudah siap ibu. Ayden mana ibu?”

            “Ayden ada dekat papanya. Si Akid tu pun satu, asyik nak berkurung di dalam bilik dia sahaja kerjanya dari tadi. Dipanggil-panggil tidak mahu menyahut. Bilik siap dikunci dari dalam lagi.” Mendengar nama Syed Akid, di lubuk hati Dinah ada sedikit merasa sakit. Entah kenapa. Sakitnya begitu mencengkam, sama seperti sakitnya ketika lelaki itu memberitahu keputusan untuk berkahwin dengan Anis.

            “Biarlah dia dulu ibu, nanti Dinah ambil Ayden dekat Akid.”

            “Dinah.” Sahut Puan Norani. Wajah cantik mulus gadis itu ditatap. Anak gadis yang tidak banyak kerenah. Terlalu manja tetapi ada masa dia menjadi pendiam bila melibatkan hati dan perasaannya. Anak gadis itu lebih mengutamakan perasaan orang lain daripada dirinya sendiri. “Everything is okay?

            Dinah hanya menganggukkan kepalanya tanda mengiyakan soalan daripada Puan Norani itu. Melihat respon daripada Dinah, Puan Norani menghela nafas kecil sebelum dia keluar dari bilik Dinah. Sememangnya dia amat mengharapkan sesuatu tindakan daripada gadis itu. Tapi seperti biasa, gadis yang bernama Dinah akan sentiasa menjadi Dinah yang mereka kenali.

            “Semua sekali, get ready to go to masjid!!” Suara Syed Abdul Warith, bakal menjadi bapa mertua Dinah sudah kedengaran dari arah bawah villa mereka. Suara jantan Syed Abdul Warith memang amat digeruni dengan kelantanggan suaranya. Seisi villa boleh kedengaran.

            Tergesa-gesa Dinah juga turut keluar dari biliknya. Tidak lupa juga iPhone 6 nya di capai. Laju sahaja ibu jarinya menekan pad kekunci telefon lalu membuka aplikasi Facebook. Tidak ada sebarang update daripada teman baiknya, Syed Akid. Malah sejak keluarga Syed Abdul Warith memutuskan untuk meminang Dinah dahulu, Syed Akid sudah mula menjauhkan diri daripada Dinah.

            Keluar sahaja dari pintu biliknya, dalam masa yang sama juga Syed Akid keluar dari pintu biliknya sambil mendokong Ayden yang baru sahaja berusia dua tahun. Buat seketika mereka berdua memandang sesama sendiri sehinggalah Syed Akid dikejutkan oleh Ayden.

            “Mama…” Ayden sudah mendepangkan tangannya ke arah Dinah bila melihat kehadirannya di situ.

            Mendengar suara Ayden yang lunak dan manja, laju sahaja Dinah berjalan menuju Syed Akid dan Ayden. Dalam sekelip mata Ayden sudah beralih tempat. Tanpa menyapa Syed Akid yang masih merenungnya, Dinah berjalan menuju ke aras bawah. Dia amat tidak sanggup bila mata yang redup itu merenung dirinya. Hatinya menjadi tidak keruan.

            “Ayden, jom pergi bawah. Berat betul anak mama ini ek, makan apa ni?” Dinah sudah menggeletek perut Ayden sehingga membuatkan anak itu ketawa terkekek-kekek. Begitu lunak sekali ketawanya di dengar.

            Belum pun sempat Dinah berjalan, lengannya tiba-tiba di tarik oleh Syed Akid menghalang dia supaya bergerak dari situ. “Dinah.”

            Dinah menunggu kata-kata seterusnya dari lelaki itu kerana Ayden sudah mula merenggek hendak turun ke bawah. “Tak ada apalah.”

            “Aku jalan dulu Akid.” Syed Akid hanya menganggukkan kepalanya tanda melepaskan gadis bersama anak terunanya pergi ke aras bawah.

            Syed Akid membawa anak matanya sehingga Dinah hilang dari pandangannya. Apabila dia mendengar Dinah bersetuju untuk dikahwinkan dengan alongnya, dia menjadi nanar seketika. Sungguh dia tidak percaya gadis yang mula mendapat tempat dihatinya menjadi milik alongnya. Adakah dia sudah tersilap langkah?

            Dengan pelbagai rasa yang hadir di dalam dirinya, tanpa sedar Syed Akid menumbuk permukaan dinding yang berdekatan dengannya berkali-kali. Melepaskan geram yang masih berbuku malah perasaan itu semakin menjadi-jadi. Tanpa sedar air mata juga turut keluar. Air mata kesakitan. Sakit yang sudah tidak dapat di tahan oleh sekeping hati lelakinya.

            “Akid.” Satu suara memanggil Syed Akid dari tangga. Laju sahaja Syed Akid menyapu air mata yang galak keluar dari matanya lalu mengalihkan badannya di mana suara itu berada.

            “Ya ibu.” Satu senyuman cuba diterbitkan supaya ibunya tidak perasaan. Buku limanya juga di sembunyikan disebalik baju cara melayunya. Ada darah akibat tumbukan didinding tadi.

            Puan Norani berjalan menghampiri anak bungsunya. Dia sempat melihat apa yang anaknya itu buat dengan dinding yang menjadi mangsa amukannya. Ini mesti kes Dinah. Hmmm! “Kenapa mata kamu merah-merah ini Akid? Kamu menangis ke?”

            “Takdelah ibu, mata masuk habuk.” Huh, itu alasan yang terlalu lama untuk menipu hati seorang ibu. Telahan dan naluri seorang yang bergelar ibu selalunya benar. Melihat dari gerak geri anak-anaknya juga dia sudah masak. Orang yang ego memang selalunya rugi. Contohnya macam inilah. Akibat tidak mahu meluahkan perasaan masing-masing, akhirnya dua-dua makan hati ulam jantung, putih mata.

            “Dah pergi masuk dalam bilik. Dinah ada bagi baju cara melayu untuk kamu tak?” Syed Akid berkerut dahi. Sejak bila pula gadis itu ada memberinya baju cara melayu? Namun Syed Akid hanya menggeleng-gelengkan kepalanya tanda jawapan bagi soalan daripada Puan Norani.

            “Kamu pergi cek almari baju kamu Akid. Dinah ada cakap dia sudah letak elok-elok dalam almari pakaian kamu.” Tanpa membuang masa, Syed Akid berjalan menuju ke almari pakaiannya yang menempatkan bahagian khas untuk baju cara melayu. Hanya Dinah sahaja yang tahu pe-el lelaki yang bernama Syed Akid. Cerewet dengan susunan yang teratur memang sudah sebati dengan dirinya.

            Anak matanya terlekat kepada sepasang baju cara melayu berwarna cream. Nampak smart macam blazer. Seluar juga seluar potong. Puan Norani yang melihat gelagat anaknya hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Kalau dia tidak menyuruh lelaki itu mencari baju melayu, nampak gayanya anaknya itu hanya memakai pakaian biasa semasa menghadiri alongnya nikah nanti.

            “Hah, pakai tu Akid. Sinjangnya pun ada dekat situ kata Dinah.” Ujar Puan Norani dari muka pintu.

            “Kenapa warna cream ibu?” macam nak nikah sahaja gayanya. Namun kata-kata itu hanya bermain didalam hatinya.

            “Laaaa kamu tidak sedar ke? Warna tema untuk pernikahan Dinah tu warna cream. Kami semua pakai warna cream. Kamu tahulah Dinah tu memang suka warna cream.”

            Lelaki itu sudah menghela nafasnya kasar. Pernikahan Dinah lagi. Tidak ada benda lain ke nak di sebut.

            “Pergi tukar baju, kami tunggu bawah. Kamu bawa Dinah dengan Ayden pergi masjid. Kami semua bergerak awal.” Baru sahaja Puan Norani hendak berlalu dari situ, tiba-tiba dia bersuara.

            “Kenapa Akid pula yang kena bawa Dinah dengan Ayden pergi masjid? Pak Lurah kan ada. Kalau tidak ada Pak Lurah, suruh saja along yang bawa. Kan senang. Mereka berdua kan nak jadi suami isteri tak lama lagi.” Memberontak! Itu sahaja yang Syed Akid tahu buat masa sekarang. Bagaimana dia hendak melepaskan gadis itu kepada alongnya kalau dia akan berjumpa lagi dengan Dinah. Dia sudah berusaha untuk tidak mendekati Dinah. Takut-takut hatinya tidak mahu melepasi Dinah malah merampas gadis itu daripada alongnya. Nanti kalau alongnya tahu bahawa dia juga mahu menyunting Dinah sebagai isterinya, bagaimana? Along memang sudah bersedia untuk kahwin sedari dahulu lagi namun tidak mempunyai kekasih atau calon isteri untuk diperkenalkan kepada ibunya. Dalam masa yang sama dia tidak mahu melukai hati alongnya.

            “Jangan banyak cakap Akid. Dah, kami nak pergi ni. Along kamu ikut kami. Kamu bawa Dinah dengan Ayden. Ayden tak mahu berenggang dengan Dinah dari tadi.”

            “Yelah…” Lemah sahaja Syed Akid memberi kata putus kepada ibunya. Tanpa balasan, Puan Norani sudah berlalu dari situ sejurus sahaja dia menutup muka pintu bilik Syed Akid.

            Mengenangkan arahan ibunya, hatinya menjadi semakin tidak keruan. Syed Akid berlalu ke bilik mandinya. Tangan yang berdarah di cuci. Sakit yang hadir akibat luka itu tidak dapat melawan kesakitan di dalam hatinya. Kalau boleh dia mahu pergi ke luar negeri pada masa itu juga. Dengan hati yang berbelah bahagi, Syed Akid terus mandi tanpa menghiraukan Dinah dan Ayden menunggu kehadirannya di bawah. Biar mereka menunggu! Lagi lama lagi baik. Cancel nikah terus!

            Setengah jam kemudian, Syed Akid sudah selesai mandi. Tanpa membuang masa, dia memakai baju cara melayu yang sudah di sediakan. Dengan berhias ala kadar, dia turun ke bawah. Di situ dia ternampak Dinah sedang menepuk-nepuk punggung anaknya lembut sambil berjalan ke hulu ke hilir menidurkan Ayden. Sungguh cantik dan amat mempesonakan gadis itu dalam pakaian nikahnya. Nikah? Arrrrrghhhhh!

            Dinah ternampak kelibat Syed Akid yang siap melenggang kangkung semasa hendak turun tangga. Sesudah lelaki itu hampir mendekati mereka, Dinah membuka kata, “Lamanya kau bersiap Akid. Naik lenguh aku menunggu.”

            Gadis itu cuba beriak biasa. Cara percakapan juga masih dikekalkan seperti mereka di zaman universiti. Walaupun gementar, tapi perasaan itu cuba di buang jauh-jauh. Suasana di dalam villa juga sudah semakin sunyi kerana semua sekali sudah bertolak menuju ke masjid di mana pernikahannya dengan Syed Akhbar dijalankan. Akid, kalaulah kau tahu dengan isi hatiku sekarang ini.

            “Kenapa? Dah tak sabar nak jadi isteri along ke?” begitu sinis kata-kata Syed Akid di pendengaran Dinah. Sindiran itu menandakan Syed Akid sedang menahan marahnya. Tapi kenapa lelaki itu tiba-tiba hendak marah?

            “A’ah memang tak sabar nak kau panggil aku kak long pulak.” Dinah juga tidak mahu kalah. Sebal. Satu jelingan tajam sempat dihadiahkan kepada Syed Akid. Dinah sudah berura-ura untuk berlalu dari situ. Tempat yang ditujunya adalah tempat menyimpan kasut-kasut kerana dia ada menyimpan kasut nikahnya di situ.

            Matanya liar mencari kasut nikahnya sambil mendokong Ayden yang sudah terlelap.

            “Kau cari apa?” ujar Syed Akid dari belakang. Dinah sedikit terkejut namun dia cuba untuk buat seperti biasa. Tidak mahu melihatkan kegugupan hatinya yang sudah melanda dengan kuat. Apatah lagi hanya mereka berdua sahaja di dalam bilik menyimpan kasut itu.

            “Kasut nikah akulah.” Matanya masih setia mencari kasut yang dimaksudkan sehingga dia mencari ke ruang kasut Syed Akid. Sememangnya di dalam bilik menyimpan kasut itu, setiap orang mempunyai tempat rak kasut mereka tersendiri.

            Dinah ternampak kasut nikah, tapi… kenapa kasutnya ini berada di dalam rak kasut Syed Akid? “Akid, macam mana kasut nikah aku ada dalam rak kasut kau ni?”

            “Manalah aku tahu. Kau tu jangan buat tak tahu pula. Rak kasut aku tu dah jadi macam rak kasut kau.” Dinah hanya menjeling. Benci! Itu pun dia nak ungkit. Nanti kalau aku dah kahwin dengan Syed Akhbar, aku pindah semua kasut-kasut aku dekat rak Syed Akhbar. Biar semak dekat situ. Huh!

            Tanpa berkata apa-apa, kasut nikahnya dicapai lalu meletakkan kasut itu di atas lantai. Terkial-kial gadis itu semasa hendak memasang kasut. “Akid, tolong pegang Ayden sekejap.”

            Syed Akid menghulurkan tangannya untuk mengambil Ayden yang sedang nyenyak tidur. Baru sahaja badan anak lelaki itu beralih tempat, rangkulan Ayden di leher Dinah dikuatkan. Tidak mahu melepaskan pelukannya dileher Dinah. Sedar dirinya mahu di ambil, Ayden sudah merengek. Untuk menghalang dari Ayden bertambah mengamuk, Dinah menepuk-nepuk punggung Ayden supaya budak kecil itu kembali tidur. Seperti yang disangka, sekejap sahaja Ayden tidur dipelukan Dinah.

            “Akid, tolong bawa kasut aku. Kita pergi masjid sekarang. Mereka dah lama menunggu.”

            Syed Akid hanya menurut arahan Dinah. Kasut putih yang penuh manik di ambil di mana ia diletakkan tadi. Tanpa menunggu Dinah, Syed Akid berjalan menonong menuju ke keretanya yang sudah disediakan di hadapan pintu utama villa mereka. Pintu untuk Dinah dibuka. Dengan penuh berhati-hati Dinah masuk ke dalam perut kereta Syed Akid tanpa menganggu tidur Ayden yang mula nyenyak. Selepas Dinah masuk, Syed Akid berlari anak ke pintu sebelah lalu masuk ke dalam sambil menghidupkan engine kereta.

            Sepanjang perjalanan mereka berdua hanya berdiam diri. Kedua-duanya tidak mahu memulakan satu perbualan yang boleh mengisi masa kosong mereka semasa menuju ke masjid. Kalau dulu-dulu, merekalah radio bergerak. Tidak dapat bertemu, kedua-duanya ada sahaja cerita hendak di kongsikan. Namun suasana itu semakin berkurangan semenjak Syed Akid berkahwin dengan Anis.

            Sampai sahaja diperkarangan masjid, semua sudah menunggu kehadiran mereka berdua terutama pengantin perempuannya. Melihat Ayden masih di pangkuan Dinah, Puan Norani berjalan menuju ke arah Dinah, hendak mengambil Ayden. Lagi sekali Ayden membuat perkara yang sama. Malah semasa badan anak kecil itu sudah berjaya beralih tempat, anak mata Ayden terbuka luas sambil menangis melalak mencari Dinah.

“Mama! Mama!” Teriak Ayden dengan lantang. Dinah mahu mengambil Ayden kembali tetapi dihalang oleh ibu angkatnya. Puan Norani laju sahaja membawa Ayden ke dalam masjid namun tangisannya semakin galak kedengaran. Bukan main jauh lagi Puan Norani menenangkan cucunya. Berupaya untuk tidak menganggu suasana upacara pernikahan yang akan berlangsung sebentar lagi.

Dengan hati yang berat, Dinah perlahan-lahan masuk ke dalam masjid. Kerap kali dia mengambil nafas yang panjang supaya dapat meredakan hatinya yang semakin bergetar terutama sekali bila mengenangkan dia akan bakal bernikah dengan Syed Akhbar, along kepada Syed Akid, Akid yang diidamkan sejak mereka berada zaman universiti lagi. Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini ya Allah. Sesungguhnya sejak dia melakukan sembahyang istikharah, imbasan Syed Akid dan Ayden kerap kali bermain di dalam mimpinya.

Tangisan Ayden semakin kuat bergema. Dinah yang sudah duduk ditempat khas untuk pengantin perempuan sedikit risau mendengar suara Ayden. Puan Norani terus mendapatkan Dinah lalu memberi Ayden kepadanya. Terus sahaja Dinah memeluk anak kecil itu sambil menepuk manja punggung Ayden. Bagai tidak mahu melepaskan, pelukan dileher bertambah erat. Sekejap sahaja Dinah memujuk, tangisan Ayden sudah berhenti tapi tidak mahu tidur kembali. Matanya bertambah luas melihat ke sekeliling masjid.

Syed Akid yang melihat kerenah anaknya itu hanya tersenyum nakal. Bagus Ayden. Kalau boleh buat sampai tidak jadi nikah. Biar Ayden merekat terus dengan mama Dinah. Pandangannya dilontarkan ke seluruh kawasan tempat nikah yang bakal berlangsung. Semua orang sudah bersedia, namun tidak ada tanda-tanda kelibat alongnya di situ. Barulah Syed Akid sedar bahawa alongnya masih tidak ada di situ. Belum sempat Syed Akid ingin bertanyakan mengenai perkara itu, tok kadi sudah masuk ke dalam masjid.

“Siapa Syed Akid bin Syed Abdul Warith?” semua mata tertumpu kepada Syed Akid. Tuan punya badan sudah siap dengan muka benggang. Kenapa pula tiba-tiba namanya dipanggil oleh tok kadi?

“Itu nama saya tok kadi.”

Tok kadi tersebut hanya menganggukkan kepalanya. Tapi Syed Akid masih tidak bergerak dari tempat duduknya.

“Eh kenapa tidak ke sini duduk depan tok? Tak nak nikah ke?”

“Ehhhh?” Bahunya ditepuk oleh pak udanya yang duduk disebelah. Dengan hati yang berbelah bahagi, Syed Akid turutkan jua.

Syed Akid sudah duduk di hadapan tok kadi. Hatinya semakin gementar, lebih gementar daripada dia mengangkat nikah bersama Anis dahulu.

“Betul nama kamu Syed Akid bin Syed Abdul Warith?” tanya tok kadi lagi sekali sambil menunjukkan borang yang ada di hadapannya.

“Ya betul ini nama saya tok.” Tok kadi mengangguk puas dengan jawapan yang diberikan. Selepas itu dia membawa borang-borang itu kepada Dinah yang masih memangku Ayden. Melihat ada seseorang menghampiri Dinah, Ayden semakin ligat memeluk dirinya dengan kuat.

“Nama kamu Siti Dinah binti Duming?” Dinah mengiyakan soalan itu.

“Kamu baca borang ini. Betul bakal suami kamu namanya Syed Akid bin Syed Abdul Warith?” Kedua kening sudah bertaut. Pandangannya dialihkan kepada Puan Norani. Ingin meminta penjelasan. Kenapa Syed Akid pula yang jadi pengantin lelaki? Namun dengan anggukkan Puan Norani, Dinah hanya turut akur dengan permintaan itu.

“Ya betul.” Sesudah acara menandatangani borang selesai semuanya, tok kadi kembali ke tempat duduknya tadi, di mana Syed Akid berada sekarang.

“Syed Akid, boleh kita mulakan sekarang.”


SYED AKID mencari Syed Akhbar di dalam villa mereka setelah upacara pernikahan selesai. Dia menginginkan penjelasan yang lebih lanjut. Apabila ditanya kepada ibu dan ayahnya, kedua-duanya berpakat tidak mahu menjawab. Mereka hanya menjawab, ‘Alhamdulillah sudah menjadi jodoh kamu dengan Dinah.’

            Kakinya berjalan laju menuju ke bilik Syed Akhbar. Tombol pintu bilik alongnya dibuka dengan kasar. Dia tahu lelaki itu berada di situ kerana kereta terletak elok di dalam letak kereta khas mereka. Ini yang membuatkan dia semakin panas. Masuk sahaja ke dalam bilik Syed Akhbar, anak matanya terus terpanah gerak tubuh alongnya yang bersedia untuk keluar dengan pakaian kasual. Dengan hati yang membungkam, satu tumbukan padu singgah dipipi Syed Akhbar. Tidak cukup dengan itu bahagian tubuh yang lain juga turut menjadi habuan tumbukan sulung Syed Akid. Bila Syed Akhbar ada peluang, tanpa ragu-ragu satu tumbukan juga sempat singgah kepada Syed Akid.

            “Ya Allah, kenapa kamu berdua ini hah?! Berhenti! Berhenti ibu cakap!!” Hati tuanya sedia bila melihat kedua-dua anak lelakinya siap bertumbukan sesama sendiri bagai tidak ingat dunia. Laju sahaja dia berlari menerpa mereka berdua.

            Bila Puan Norani dekat dengan mereka, barulah mereka berhenti. Itupun dengan dengusan yang kasar keluar dari mulut mereka. Dada mereka berombak kasar. Darah juga sudah siap mengalir dari rongga hidung, tidak lupa juga bibir masing-masing yang sudah pecah lebam-lebam.

            “Kenapa along tak jadi nikah dengan Dinah? Kenapa?!” teriak Syed Akid sambil jari telunjuknya menunding ke arah Syed Akhbar yang siap tersenyum sinis.

            Syed Akhbar menyapu sisa darah yang keluar dari hidungnya. “Itu adalah hadiah kejutan untuk kau yang terlalu ego.”

            Syed Akid terkedu. “Merepek!”

            “Sudah-sudah. Akid, ibu fikir kamu suka bernikah dengan Dinah. Tapi dengan tindakan kamu ini, macam tidak suka sahaja kamu bernikah dengan Dinah.” Kali ini Puan Norani pula yang bersuara. Syed Akhbar sudah terbaring di atas katilnya. Biarlah ibunya yang berbicara dengan adiknya itu. Dia malas mahu masuk campur.

            “Akid tak mahu macam ini ibu. Perasaan Dinah macam mana. Akid manalah tahu dia suka Akid atau tidak.” Suaranya sudah bertukar kendur dengan menghela nafas yang lelah akibat bergelut dengan alongnya tadi.

            “She loves you Akid. She really loves you.” Suara dari orang yang terbaring di atas katil kedengaran ditelinga Syed Akid.

            “Macam mana along tahu?”

            “Sudah. Jangan tanya lagi. Pergi ke bilik kamu. Dinah sedang tidurkan Ayden agaknya. Dia pun masih dalam keadaan terkejut tapi ibu dah terangkan kepadanya satu-satu tadi. Pergi jenguk isteri kamu itu.” Arah Puan Norani.

            Dengan wajah yang lebam-lebam, Syed Akid berjalan menuju ke biliknya. Sudahlah biliknya jauh daripada bilik alongnya. Terpaksa meredah ruang tamu utama lagi. Bukan dia tidak sedar semasa dia melintas ruang tamu utama tadi, semua saudara-maranya melihat Syed Akid dengan wajah yang hairan.

            Sampai sahaja di luar biliknya, penuh berhati-hati Syed Akid memulas tombol pintu biliknya. Kepalanya dijengulkan ke dalam. Manalah tahu kot-kot Dinah buka baju ke apa. Kawan baiknya itu walaupun seorang yang free-spirit tapi malunya tetap ada. Kawan baik? Dah boleh bertukar jadi isteri kot.

            Bila dia tidak terlihat kelibat isterinya, dia masuk ke dalam biliknya. Anak kecilnya begitu nyenyak tidur di tengah-tengah katilnya. Bukan main lagi terlentang. Tadi siap merekat tidak mahu melepaskan mama Dinahnya. Sampai hendak memasukkan cincin pun bukan main susah bila Ayden mula mengagau mahu memegang apa yang papanya pegang. Sempat pula dia marahkan papanya kerana menghalang apa yang dia mahu pegang. Hailah Ayden anak papa. Lepas ni memang akan berebutlah kita berdua ek.

            Bunyi pintu tandas kedengaran di buka. Tidak lain tidak bukan Dinah yang baru sahaja keluar dari situ. Dinah memegang baju nikahnya lalu meletakkan bajunya itu ke dalam almari pakaian. Tidak menghiraukan kehadiran Syed Akid di situ. Sesudah dia memasukkan baju nikahnya, dia berjalan menghampiri Syed Akid. Dengan penuh berhati-hati dia duduk di hujung katil sambil melihat lebam-lebam Syed Akid.

            Dengan penuh berhati-hati, Dinah menarik tangan Syed Akid supaya berdiri. Baju cara melayunya di buka satu persatu. Ada darah sudah terpalit di atas bajunya yang berwarna cream. Dinah mengeluh perlahan. Syed Akid yang terkaku dengan perlakuan Dinah kepadanya. Dibiarkan sahaja Dinah mengambil peranan membuka bajunya.

            Sesudah bajunya berjaya di buka, Dinah hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala. Hairan kenapa isterinya itu menggeleng-gelengkan kepala, dia melihat keadaan badannya dengan pantulan cermin besar yang terletak di sisi dinding. Penuh dengan lebam! Badannya yang putih melepak memang mudah kelihatan bila ada lebam-lebam. Amboi along, bukan main lagi alongnya itu menghadiahkan tumbukan padu. Habis lebam.

            “Duduk.” Ujar Dinah lalu mengarahkan Syed Akid duduk di atas sofa yang ada terletak di situ. Syed Akid hanya akur tanpa bersuara.

            Dinah mengambil first aid kitnya lalu mula melakukan operasi merawat luka-luka yang ada. Begitu dekat sehingga boleh kedengaran desahan nafas masing-masing. Syed Akid mengambil peluang ini untuk merenung wajah Dinah dengan lebih dekat. Dari rambut yang sudah di ikat, dahi yang putih licin tanpa jerawat kecuali kesan jahitan di bahagian dahi belah kanan, hidung yang mancung elok, wajah yang bujur sirih, bibir yang berlekuk seksi dan dagu yang runcing. Amat mempesonakan. Matanya terus beralih ke lehernya yang jinjang. Leher itu terlalu mengiurkan dan sudah berjaya menggoda naluri lelaki Syed Akid. Astagafirullah Akid. Wake up!

            “Kau suka dengan pernikahan ini?” tanya Syed Akid.

            “Sudah tertulis kau adalah jodoh aku, Akid.”

            “Bukan itu yang aku nak dengar dari kau Dinah.” Keras suara Syed Akid. Perlakuan Dinah serta-merta berhenti. “Ini berkenaan dengan perasaan kau. Hati kau sendiri.”

            Dinah menyambung kerjanya kembali. Syed Akid yang menyingga kepedihan tidak dipedulikan sama sekali. “Bagaimana dengan perasaan kau pula? Adakah ia sama dengan Anis?”

            “Dinah.” Isterinya terus berhenti mengubati luka-lukanya. Bila nama Anis sudah menjadi topik perbincangan, Syed Akid menjadi sebu. Dia amat berharap Dinah tidak menimbulkan nama itu lagi.

            Syed Akid hanya memandang Dinah keluar dari bilik. Badannya yang lemah dan lesu dibaringkan di sisi anaknya yang sedap tidur tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Belakang tangan kanannya di letakkan di atas dahinya lalu menutup mata. Ingin merehatkan mindanya buat seketika. Apa yang baru sahaja terjadi amat mengejutkan dirinya sendiri. Sungguh dia tidak bersedia walaupun dia sedar dia mencintai Dinah dengan sepenuh hati.

            Dinah yang sudah selesai mandi dan menukar bajunya kepada baju biasa hanya menggeleng-gelengkan kepalanya bila melihat kedua-dua insan yang di sayanginya sedang sedap tidur. Dinah menghampiri Ayden, lalu membanguni anak kecil itu. Tidak susah dia membanguni Ayden kerana anak itu sudah cukup tidurnya.

            “Bangunkan papa sayang.” Dinah meletakkan Ayden di atas dada bidang Syed Akid. Berat badan Ayden yang menghempap di atas dada Syed Akid membuatkan lelaki itu sedikit tersentak namun belum ada tanda-tanda mahu bangun. Ayden mengacau wajah papanya dengan nakal terutama di bahagian lebam. Hairan kenapa wajah papanya ada warna biru-biru. Kawasan itu yang di picit-picitnya sehingga Syed Akid terjerit kesakitan.

            Dinah sudah ketawa terkekek-kekek bila melihat Syed Akid begitu. Bila dia sedar anaknya di atas dadanya, di gomolnya anak itu dengan geram. Bukan main menjerit lagi Ayden bila tempat sensitifnya digeletek oleh papanya. “Okay sudah sudah.”

            “Ayden, nenek tunggu luar tu. Pergi bilik mama ya.” Laju sahaja anak itu melompat turun ke bawah katil lalu berlari terkedek-kedek menuju ke tempat yang di arahkan. Dinah juga menurut dari belakang tetapi dihalang oleh Syed Akid.

            Bukan main terkejut lagi Dinah bila pinggangnya di peluk dari belakang oleh suaminya itu. Dinah hanya berdiri statik. Syed Akid mengetatkan pelukannya sebelum dia mengunci pintu biliknya. Sesudah pintu terkunci, Syed Akid membalikkan badan isterinya untuk menghadapnya. Ewah, bukan main pucat lagi Puan Dinah ni ya. Ini baru kena peluk.

            “Kita cakap pasal kita sekarang.” Syed Akid sudah mengunci pelukan dipinggangnya dengan ketat. Ya Allah, sama sepisis dengan Ayden! Dengupan jantung sudah lari rentak bila Syed Akid dekat begini dengannya.

            “Untuk apa?” Hatinya sudah tidak keruan bila Syed Akid menolak badan mereka ke dinding. Secara teknikal, memang Dinah sudah terperangkap.

            “Untuk masa depan.” Syed Akid tidak dapat menahan gelora yang mula timbul. Matanya nakal merenung seluruh wajah Dinah dan akhir sekali leher jinjang yang putih mulus kepunyaan isterinya itu.

            Dahi isterinya dikucup lembut, kucupan berlari ke pipi Dinah, tidak lupa juga bibirnya yang seksi. Lama kucupan itu berkampung di situ. Bila Dinah membalas kucupan itu, pelukan Syed Akid semakin kemas, tangan Dinah pula merangkul leher Syed Akid. Bila Syed Akid ingin meletakkan bibirnya ke leher Dinah, dia mula sedar. Dengan kasar, Dinah menolak Syed Akid dengan kuat. Dia hampir terleka dengan belaian daripada Syed Akid!

            “Please no Akid.”

            “Why?!

            “Sebab kau cintakan Anis! Aku tahu kau masih cintakan Anis.” Dinah sudah menangis teresak-esak sehingga tubuhnya terlorot duduk ke atas lantai. Kedua lututnya di peluk, dagunya diletakkan di tengah-tengah tautan lututnya.

            Syed Akid mengeluh. Dia juga turut duduk mencangkung di hadapan Dinah. Jari-jemarinya ingin menyapu air mata isterinya namun ditepis lembut. “Kau tahukan kisah aku dengan Anis macam-mana. Kenapa pula kau boleh fikir yang aku masih cintakan dia.”

            “Walaupun kau dengan Anis sudah bercerai Akid, tapi kau tidak akan mengahwininya kalau kau tidak mencintai dia Akid.”

            Syed Akid melepaskan keluhan untuk kesekian kalinya. Tanpa meminta izin, Syed Akid mencempung isterinya lalu membawa dia ke atas katil. Jeritan daripada isterinya tidak dilayan. Sesudah sampai, dia meletakkan Dinah ke atas katil dengan perlahan. Terkejut lagi dengan tindakan Syed Akid, Dinah hanya diam kaku.

            Lelaki itu kelihatan hanya duduk berdepanan dengan Dinah. Tangan gadis itu dicapai lalu di usap perlahan. “Berkahwin dengan Anis mungkin adalah satu kesilapan besar yang pernah aku buat dalam hidup aku Dinah.”

            “Kenapa? Dah keluar Ayden boleh pula kau nak cakap satu kesilapan besar. Itu nama dia habis madu sepah di buang.”

            Anak mata Dinah di renung dalam. “Kau happy semasa aku kahwin dengan Anis?”

            “Kenapa pula aku tidak happy. Kau kawan baik aku, kalau kau happy, aku pun kenalah happy.” Kepalanya ditundukkan. Tidak mahu Syed Akid merenung matanya yang sudah mula bergenang. Bila-bila masa sahaja boleh air matanya mengalir.

            Pegangannya dikemaskan lagi. “Jawab aku dengan jujur. Adakah kau happy masa aku kahwin dengan Anis?”

            Dinah sudah menangis teresak-esak bila didesak oleh Syed Akid. Gelengan kepalanya hanya mampu dibuat. Melihat reaksi Dinah, terus Syed Akid memeluk isterinya. Kepalanya di usap-usap. “Menangislah kalau itu boleh buat kau lega.”

            Bukan main lagi Dinah menangis melepaskan perasaannya yang terbuku disimpan semenjak Syed Akid membuat keputusan untuk mengahwini Anis. Hatinya yang sedih di luahkan pada malam itu juga dengan tangisan yang tidak putus-putus. Bila Syed Akid sedar tangisan Dinah sudah semakin reda, dia merenggangkan pelukannya. Air mata gadis itu di sapu lembut.

            “Abang minta maaf.” Kepala isterinya terdonggak bila mendengar perkataan abang. Bukan main instant lagi menukar gelaran.

            “Kenapa?”

            “Mungkin awak tidak sedar bahawa abang juga mencintai Dinah dari dulu lagi.” Dinah merenung Syed Akid supaya meneruskan penjelasan.

            “Sepanjang abang berkahwin dengan Anis dahulu, secara tidak sedar abang selalu bercerita mengenai sayang kepada Anis. Cerita itu secara automatik akan timbul. Itu yang membuatkan Anis semakin marah kepada abang. Dinah itu. Dinah ini. Dinah dapat itu. Dinah dapat ini. Isteri mana yang tak sakit hati kalau suaminya sendiri bercakap pasal perempuan lain. Apatah lagi abang tidak mahu pindah bilik. Mesti bilik ini juga kerana bilik ini dekat dengan bilik sayang.”

            “Tapi…” Syed Akid faham dengan kerenah Dinah. Gadis ini memang sukar untuk meraih kepercayaannya. Salah langkah, selama-lamanya dirinya tidak akan dipercayai.

            “Anis semakin marah bila dia mengandung sebab sayang selalu bagi tips-tips yang berguna untuk dia. Entahlah. Bagi abang kalau dia bertolak ansur, dia tidak perlu marah-marah. Abang tahu niat sayang hendak menjaga sebenarnya.”

            “Perempuan mana yang tidak marah kalau suaminya sendiri sering kali bercakap pasal perempuan lain. Aku pun marah kalau kau buat macam tu.” Sebuah kucupan dihadiahkan dibibir selepas dia berkata begitu.

            “Panggil abang.”

            “Ish gelilah.”

            “Panggil…”

            “Hmm abang…” Pelukan dikemaskan lagi.

            “Sebab itu abang menyesal. Barulah abang tahu bahawa di dalam hati ini sudah tertulis dengan nama Dinah dari dahulu lagi. Mungkin abang salah percaturan semasa memilih Anis. Dia juga sudah tidak tahan dengan kerenah abang ni agaknya sebab itu dia sendiri yang memfailkan penceraian.”

            Dinah masih ingat semasa Anis meminta penceraian, semua orang seperti menuduh Dinah adalah punca penceraian mereka berdua walaupun tidak disuarakan tapi dari segi pandangan saudara mara semua, Dinah amat mengerti dengan sindiran mata mereka.

            “Abang minta maaf lagi sekali pasal kami berdua sayang dituduh bukan-bukan. Sekarang Anis pun sudah ada suami baru, mereka tidak akan dapat cakap apa-apa lagi.” Hanya anggukkan sahaja yang ada sebagai balasan. Ini tanda Dinah sudah mula mempercayainya. Syed Akid tersenyum senang.

            “Kenapa tak cakap dekat abang yang sayang tuuu…” pelukan di renggangkan. Dia ingin menatap wajah isterinya. Merah-merah kerana bekas menangis. “yang awak tu cintakan abang sebenarnya.”

            Dinah tersentak. “Macam mana tahu?”

            “Along cakap.”

            “Nasib baik pernikahan ini menjadi sayang. Sebenarnya kejutan untuk kita berdua yang sememangnya nampak ego tapi hati masing-masing sudah berbunga. Ditambah lagi dengan kehadiran Ayden dalam hidup kita berdua. Awak sanggup menjaga Ayden sejak dia masih merah lagi sedangkan Anis tidak sudi menjaga Ayden. Terima kasih sayang.”

            “Hmmm.” Jawab Dinah. Dia sudah tidak tahu hendak berkata apa lagi.

            Memang dulu dia marah kerana Anis meninggalkan Ayden selepas sebulan lebih Ayden dilahirkan ke bumi. Habis sahaja pantang, terus lari. Walaupun ketika itu mereka sudah bercerai, atas arahan daripada Puan Norani, Anis mesti menghabiskan pantang di villa. Anis yang sememangnya amat takut dengan Puan Norani hanya menurut sahaja arahan ibu mertuanya.

            Hubungan Puan Norani dengan Anis pula tidak pernah baik semenjak mereka berkahwin, tapi atas pilihan anak, Puan Norani tidak pula membantah. Bila habis pantang, Anis meninggalkan villa sekali dengan anak kandungnya sendiri. Sampailah sekarang, Anis tidak pernah menjenguk Ayden.

            Tiba-tiba Syed Akid mencapai telefon bimbitnya yang elok terletek di meja kecil. Selepas lelak itu leka menaip-naip sesuatu sambil tersenyum-senyum, lelaki itu menutup telefon bimbitnya lalu diletakkan tempat tadi. Dinah hairan melihat kelakuan suaminya itu. Dah tersengih-sengih macam kera busuk ni kenapa pula laki aku ni.

            “Sayang. Jom sambung acara yang terbantut tadi. Abang nak tambah adik-adik untuk Ayden.”

            “Hah?”

            Assalamualaikum. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku! Jauhilah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari apa yang Engkau kurniakan kepada kamu. Sekrianya perhubungan kelamin itu ditakdirkan mendapat seorang anak. Anak itu tidak akan diganggu oleh syaitan untuk selamanya. Amin.

*************

APLIKASI WHATSAPP dibuka oleh Puan Norani bila ada mesej baru diterima. Mesej daripada anaknya, Syed Akid.

-          Akid : Ibu, tolong jagakan Ayden untuk malam ini boleh? Please. Hehe.

Mesej itu baru sahaja dibukanya kerana dia tadi sibuk menidurkan Ayden yang bukan main lagi meragamnya. Nasib baik malam ini tidak sampai menangis melalak seperti kejadian di masjid siang tadi.

-          Suamiku Warith: Astagafirullah budak bertuah!
-          Along : Phewwiiittttt! Advanced giler!!!!!
-          Lina : Ya Allah adik, tak malu ke? Akak pulak yang malu ni. Tak reti nak private ibu ke apa budak cengeng ni?!

Masaalahnya anaknya itu siap buat pengumuman dekat group Whatsapp khas untuk keluarga Syed Abdul Warith. Hailah anak aku yang seorang ini. Tidak menyempat betul sampai lupa yang dia menghantar mesej dekat group. Itu nasib baik dekat group ahli keluarga mereka sahaja, kalau group yang satu lagi, memang sakit kepala sepupu sepapat respon. Ada yang sampai ke pagi buta buka mata dengan kerja membuli. Kepalanya hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Alhamdulillah semua yang dirancang teratur sudah pun berjaya dibuat. Perancangan di antara mereka sekeluarga. Kejutan untuk Syed Akid dan Dinah. Semoga mereka berdua bahagia sehingga akhir hayat. Amin.


===================================
FB Group : Rosedynah Athan Mindblown KEBOOM!
Website : http://rd-athan-mindblown.blogspot.com/
           
           

            

3 comments:

  1. RD cerpen yang menarik. Best!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thank you Kim.

      Confession : Cerita ini diilhamkan dari mimpi saya yang terlebih gatal. jalan cerita 70% sama dalam mimpi sehingga Dinah mencari kasut. cerita selepas itu barulah rekaan untuk perisa.

      Nanti akan cuba upload cerpen lagi. nak baca sambungan novel, boleh masuk FB group yee.

      Delete
  2. Astaghfirullah* betulkan ejaan :)

    ReplyDelete