Sunday, 11 September 2016

Kahwin Dengan Kekasih Lama - [Bab 7]

[Sekadar gambar hiasan]

Bab 7

PERJALANAN Badrina dari Australia selama dua minggu baru sahaja selesai. Hari ini dia pulang ke Malaysia. Banyak pengalaman baru yang dia pelajari di Australia. Ini kerana, Badrina dipanggil oleh pihak penganjur untuk menjadi salah seorang jurusolek professional bagi acara mereka.

Badrina Speciality
[Sekadar gambar hiasan]

Pada hari Badrina balik ke Malaysia, orang yang diamanahkan untuk mengambil dirinya di lapangan terbang ialah adiknya, Qistina. Akan tetapi, bila langkahnya melangkah keluar dari pintu kedatangan para penumpang, batang tubuh si adik tidak kelihatan. Mana pulak adiknya ini? Takkan lupa pula?

Telefon bimbit lantas dicapai dari dalam beg tangannya. Punggung dilabuhkan disalah satu kerusi panjang yang disediakan. Ketika Badrina ralit mengubah roaming di dalam telefon bimbit, tiba-tiba sesusuk tubuh lelaki berdiri di hadapan Badrina. Langsung sahaja Badrina memanggungkan kepalanya, ingin melihat siapa pula yang berdiri di hadapannya ini.

“Eh, you!”

Badrul rupanya. Bukan main terkejut Badrina ketika itu. Dalam masa yang sama, geram juga dekat adiknya, ini mesti kerja Qistina. Tidak ada sesiapa yang tahu dia pergi ke Australia, hanya Qistina sahaja yang tahu. Papa dan mama mereka memang sudah amat faham akan kehilangan dirinya. Memang kalau tidak pasal kerja, mesti sedang buat aktiviti marathon di negeri orang.

Tanpa berkata apa-apa, lelaki itu terus sahaja mencapai beg pakaian Badrina lalu berjalan melulu ke hadapan. Wajah yang muram memang nampak terpamer di situ. Merajuk ke?

Badrina melepaskan nafas malas. Ini confirm kes marah dekat dia. Sepanjang dua minggu lelaki itu mengajak dirinya untuk pergi bersama-sama cari katering, cari baju nikah, cari baju sanding, cari pelamin, semualah, dan sepanjang dua minggu itu juga Badrina mengelak akan semua ajakan daripada tunangnya. Memberi alasan dia outstation.

Laju langkah Badrul ke hadapan, sebab itu Badrina terpaksa berlari anak untuk menyaingi langkah kaki lelaki tersebut. Nasib baik stamina tinggi. Tak adalah dia rasa semput, apatah lagi dia sekarang memakai high heels. Kenapalah dia tidak terfikir untuk memakai sneakers tadi?

“Masuk,” arah Badrul apabila mereka sudah sampai di mana Badrul meletakkan keretanya. Apabila Badrul sedang menyimpan beg pakaiannya di belakang kereta, Badrina langsung sahaja menurut arahan daripada tunangnya. Tunangnya sedang marah, dia turutkan sahaja. Nanti kena tinggal pula dia. Dahlah duit cukup-cukup sahaja dia ada di dalam dompet.

Tanpa berkata apa-apa, Badrul terus sahaja menjalankan keretanya. Badrina ingin cuba membuka mulut, namun apabila melihat reaksi Badrul yang begitu serius, terbantut segala niat yang ada. Hanya celoteh penyampai radio sahaja yang setia menemani sepanjang perjalanan mereka yang Badrina tidak tahu ke mana mereka harus tuju.

Kesan jetlag dari penerbangan tadi masih tersisa. Sakit pula kepala Badrina. Lebih baik dia melelapkan mata buat seketika. Sebaik sahaja dia menyandarkan belakang kepalanya ke kepala kerusi di mana dia duduk sekarang, terus sahaja dia melelapkan mata. Sebelum dia menghadapi kerenah merajuk si tunang, lebih baik dia tidur dahulu. Nanti kalau dia bad mood juga, dua-dua menjadi api, besar kemungkinan api akan semakin besar. Kalau mereka berdua ini sudah kahwin itu lain cerita, tahulah apa dia akan buat kepada Badrul, tetapi ini belum kahwin kena ada batas. Walaupun mereka berdua ini jenis openminded, tapi kadang-kadang kalau terlalu terlajak ini bahaya juga.

Honey,” kedengaran suara Badrul memanggil dirinya. Bahu juga turut digoncangkan supaya Badrina bangun dari tidurnya.

Honey,” lagi sekali lelaki itu memanggil nama tunangnya.

“Emmm,” sahut Badrina sambil mata masih tertutup.

“Kita dah sampai,” apabila sebaris perkataan itu disebut, mata Badrina perlahan-lahan terbuka. Anak mata liar melihat ke sekeliling kawasan di mana Badrul membawa dirinya.

“Kita dekat mana ini?” tanya Badrina sambil mengeliatkan badannya tanpa menghiraukan Badrul yang setia melihat perlakuannya ketika ini.

“Butik Nina’s Bridal,” ucap Badrul sepatah.

Sejurus sahaja Badrul berkata begitu, terus sahaja dia membuka pintu kereta. Tetapi, belum sempat lelaki itu keluar, Badrina laju sahaja mencekup lengan Badrul. Menghalang supaya lelaki itu keluar daripada perut kereta. Mereka harus berbincang. Sungguh Badrina tidak suka dengan keadaan begini.

“Kenapa ni?” tanya Badrina apabila lelaki itu kembali ke tempat duduknya. Pintu yang dibuka juga terus sahaja ditutup.

Badrul diam.

“You marah dekat I?” tanya Badrina lagi.

Honey, you rasa keputusan I melamar you adalah satu jalan yang salah ke?” terpanar hati Badrina buat seketika bila mendengar Badrul berkata begitu.

“Kenapa you cakap macam itu pula?”

It takes two to tango honey. Kalau I seorang sahaja yang menari, ia akan menjadi pincang,” suara lelaki itu juga sudah menjadi keras.

Badrina melepaskan keluh. “Janganlah fikir macam itu.”

“Mungkin telahan I betul. You tidak suka dengan pertunangan ini. Mungkin lebih baik kita…”

“Siapa cakap I tidak suka dengan pertunangan ini?” apabila Badrina memangkah percakapan Badrul dengan berkata begitu, wajah Badrul yang tadinya kelam sudah menampakkan cahayanya. Adeyh, bukan main suka lagi ya.

“Jadinya you memang suka?” tanya Badrul lagi inginkan kepastian.

“Kalau I tidak suka, dari awal lagi I tidak bersetuju tahu. Hari ini bertunang, mungkin esoknya I langsung sahaja minta putus. Tetapi, tengok, hari ini cukup sebulan kita bertunang. Ingat saya tidak kisah ke dengan semua ini?”

Bukan main lebar lagi senyuman Badrul setelah mendengar penjelasan daripada tunangnya sendiri. “Yes! Yes! Yes! Alhamdulillah. Thank you sayang thank you sebab sudi terima I jadi bakal suami you.”

“Mengada saja lebih. Hilang dah merajuklah ni ya?” jeling Badrina manja kepada Badrul yang sudah tersengih-sengih di sisinya.

“Bila masa pula I merajuk? I tak mainlah merajuk ni.” Badrina hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya dengan penafian daripada lelaki tersebut. Malas hendak melayan kerenah Badrul yang sudah seperti di awang-awangan, Badrina berlalu keluar daripada perut kereta Badrul.

“Jom sayang, kita makan,” ajak Badrul setelah dia selesai mengunci keretanya.

“Bukan tadi you nak pergi butik ke?”

“Laparlah pula I rasa. Boleh kita berbincang untuk acara perkahwinan kita sebelum pergi butik.”

Badrina hanya tersenyum. Macam-macam betullah tunangnya ini. Persis budak-budak yang baru sahaja dapat gula-gula lollipop. Sedikit sebanyak dia belajar satu sisi ada pada Badrul yang dia tidak sedar. Manja rupanya.


SECARA tidak sedar, tinggal sebulan sahaja lagi untuk melangkah ke alam perkahwinan di antara Badrul dan Badrina. Seperti biasa, acara bulanan, bulan ini rumah Badrul mengadakan acara makan-makan. Tidak ada BBQ pula kali ini. Kali ini acara mini sukanlah pula. Meriah betul. Nasib baik halaman belakang rumah keluarga Badrul ini sememangnya luas. Makanan pun ala-ala buffet style.

Semua orang cukup tidak sabar akan perkahwinan Badrul dan Badrina. Walaupun kedua-dua bakal pengantin banyak bertekak sepanjang membuat persediaan, tetapi setakat ini semuanya berjalan dengan lancar. Badrina masih teringat lagi ketika mereka berbalah semasa memilih pelamin.

“Sayang, janganlah semua warna putih. Bagilah campur warna lain ke. Nanti semua tetamu yang datang pakai baju berwarna-warni. Banyak kontra di situ,” canggah Badrul ketika mereka berdua sedang berbincang mengenai pelamin untuk acara persandingan nanti. Memandangkan mereka bersetuju hanya membuat satu acara sahaja di dalam satu dewan, pelamin juga satu.

“Tapi warna putih tu cantik. Dia macam warna base foundationlah. Pedulilah apa warna yang diorang pakai, yang penting baju kita. Baju kita ada warna cream-goldish, should be okay kalau guna background putih,” ucap Badrina lagi tidak mahu mengalah.

“Boleh tak kalau I pakai tuxedo warna hitam?”

“Tak boleh. Hitam terlalu common. Pakai warna yang I pilih.”

Badrul sudah mengangkat bendera putih sepanjang perbincangan mereka. Nasib baik warna tema untuk barang-barang hantaran mereka Badrul boleh pilih. Terus sahaja Badrul pilih warna navy blue kombinasi dengan warna hitam. Badrina pula warna putih kombinasi dengan warna emas.

Tetapi yang membuatkan Badrina nampak sengkek sangat bila si nenek dan tunang-tidak-jadi ikut campur menjadi hakim dengan semua pilihannya. Semuanya tidak kena di mata mereka. Hairan, yang lain bukan main puji semua sekali yang dipilih amat sesuai dengan Badrul dan Badrina, yang dua orang ini pula sebaliknya.

“Adul, kenapa door gift pihak belah kita ini macam ini saja. Tidak ada benda lain ke? Bagilah pasu kaca ke? Ini apa kelas bagi beras pula dekat tetamu,” ejek Hajah Sameon bila mereka semua sibuk memasukkan beras ke dalam jar plastik khas yang disediakan. Rezeki untuk para tetamu sebenarnya. Boleh dimakan. Itu idea Badrina. Para tetamu memberi rezeki kepada pihak keluarga belah pengantin.

“Pasu kaca tu berat. Tidak tahan lama. Kalau gugur boleh pecah. Kalau pasu yang tidak ada kualiti, boleh membahayakan bagi orang yang menerimanya. Habislah nama kami berdua jadi perbualan, bukan nama nenek,” itu dia apabila Badrina menjawab.

Sekarang ini, semua orang sudah maklum akan sikap Badrina yang sering sahaja berlawan cakap dengan Hajah Sameon. Malas dia mahu menyembunyikan sifat dia yang satu ini. Dia malas ingin menjadi seorang yang mengalah, yang dapat di atur seperti anak patung.

Saudara-mara Badrul yang lain pula hanya mampu diam. Mereka juga sebenarnya amat malas hendak melayan kerenah nenek mereka ini. Terlalu banyak salah di matanya. Semua salah. Itu tak kena. Ini tidak kena. Kalau boleh dia sahaja yang betul. Tetapi, kalau mereka menuruti semua yang diarahnya, memang tidak akan menjadi. Apabila perkara yang dirancang tidak menjadi, kesalahan itu terus diletakkan kepada orang lain. Itulah Hajah Sameon.

“Sekurang-kurangnya kalau bagi benda kepada tetamu, nampak elok,” ujar Hajah Sameon tidak mahu mengalah.

“Macam ini sajalah ya nek. Apa kata nanti, semasa Azmina kahwin, nenek sahaja yang atur segala perancangan dia kahwin. Nak juga saya tengok bagaimana gahnya seorang yang melihat dari segi kelas ini mengatur acara kahwin.”

“Huh, sepatutnya Adul yang kahwin dengan Azmina. Bukan dengan kau.” Wahhh, bukan main direct lagi Hajah Sameon berkata-kata. Depan semua orang pula tu. Anak-anak dan menantu-menantu hanya mampu diam sahaja.

“Baguslah kalau saya berkahwin dengan Badrul. Tak adalah nampak tunang saya yang terchenta tu seperti patung. Cuba tengok Badrul sekarang, nampak macam orang kan. Bukan main gelak lagi dekat hujung tu,” bagi yang mendengar kenyataan Badrina sebentar tadi sudah mula tergelak ketawa.

Azmina pula yang setia menjadi ekor kepada Hajah Sameon sejak dari tadi sudah mula melangkah jauh, jauh daripada tempat mereka berkumpul. Ketika itu mereka semua sedang sibuk mengisi door gift untuk belah Badrul. Semua berpakat untuk bergotong royong.

Melihat cucu perempuan kesayangan tidak lagi di situ, Hajah Sameon juga turut pergi ke tempat lain. “Huh!”

“Sudah-sudahlah tu Rina. Jangan kamu layan sangat dengan apa yang nenek cakap tu,” tiba-tiba Puan Laila datang bersama dengan minuman sebelum dia duduk di sebelah Badrina.

“Dia yang mulakan dulu. Rina memang pantang kalau ditegur tanpa ada alasan yang logik. Kalau nak bantah pun, fikirlah dulu untuk perancangan masa depan supaya tidak menyusahkan semua orang,” sindir Badrina lagi dengan suara yang sedikit besar. Sengaja sebenanrnya sebab Hajah Sameon masih dekat.

Mendengar sahaja sindiran daripada Badrina, Puan Laila hanya mampu menepuk paha bakal menantunya itu dengan lembut. Menegur supaya jangan lagi dipanjangkan. Faham akan teguran daripada Puan Laila, Badrina terus sahaja berhenti.

Sesekali anak matanya melirik ke arah di mana tunangnya berada. Bahagia betul bakal pengantin. Tak nak tolong pula tu, siap gelak sakan lagi. Tadi mula-mula bukan main semangat dia nak menolong, tetapi bila sepupu-sepupu lelaki dah banyak datang, terus sahaja lesap tanpa amaran.


Hmmm, bukan main gelak lagi ya Encik Badrul Ilham tu bergelak ketawa dengan sepupu-sepupunya. Nanti ya Encik Badrul. Bakal isteri ada pesanan khas buat anda.

==================================================
can't wait for their wedding.

No comments:

Post a Comment