[Sekadar gambar hiasan]
Bab 8
ACARA PERNIKAHAN di rumah kediaman Badrina sekejap sahaja lagi
berlangsung. Para tetamu berpusu-pusu datang memenuhi khemah yang disediakan.
Badrina dan Badrul membuat keputusan untuk bernikah pada hari Juma’at, selepas
solat Juma’at.
Pada mulanya memang ada yang bantah, tetapi Badrina
tidak peduli. Siapa nak datang, dipersilakan, tidak ada halangan. Asalkan
syarat-syarat untuk akad nikah cukup. Lagi menjengkelkan si tukang bantah itu
ialah nenek Hajah Sameon yang turut masuk campur dalam segala urusan. Memang
kadang-kadang naik angin juga Badrina.
“Kenapa mesti nikah hari Juma’at? Semua orang
sekolahlah. Budak-budak pun sekolah. Menyusahkan orang betullah,” masih
terkenang akan kata-kata bantahan daripada Hajah Sameon apabila mereka
berbincang masa yang sesuai untuk melangsungkan tarikh pernikahan. Apa yang
Badrina tekankan, hari pernikahannya mestilah pada hari Juma’at. Ingin
mengambil sukut.
“Ada masalah ke nikah hari Juma’at?” tanya Badrina.
“Yalah. Itulah masalah dia. Hari Juma’at orang
kerja, budak-budak sekolah. Tak banyak yang datang tu nanti,” ujar Hajah Sameon
lagi.
“Syarat-syarat untuk akad nikah ni ada lima Rina
rasa, pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi lelaki dan
ijab kabul. Rina rasa tak ada pula syarat yang menyatakan kena banyak tetamu
datang sesama acara pernikahan.”
Itu dia apabila Badrina berkata-kata, memang bisa
membuatkan semua orang terkedu.
“Hish, kenapalah dia ini kan, suka sangat melawan
kata-kata orang tua. Macam mana kau nak sangat dia ini jadi menantu kau Laila.
Geram betul hati aku ni,” bukan main lagi raut muka Hajah Sameon berkerut
menahan geram apabila kata-katanya dibantah oleh Badrina.
“Sudah-sudahlah tu.” Tuan Ramlee bertindak untuk
merungkaikan perdebatan yang baru sahaja bermula. Kalau dipanjangkan, akan
menjadi melarat.
Badrul pula siap memberi isyarat untuk tidak
meneruskan menyerang neneknya lagi.
Tuan Haji Qamarul, papa Badrina pula hanya mampu
mengelengkan kepalanya bila melihat hubungan ‘terlebih mesra’ di antara Hajah
Sameon dan Badrina. Dia sebagai ayah kepada anaknya itu amat faham dengan
kerenah Badrina. Sikap Badrina, bila rancangannya dicanggah dipertengahan jalan
memang akan meruap. Mesti bentangkan sampai akhir, baru boleh bincang. Memang
cara keluarga mereka begitu, dengar dulu baru bincang.
“Seperti yang dibincangkan di antara Badrul dan
Badrina, mereka membuat rancangan untuk melangsungkan pernikahan mereka pada 16
September ini nanti. Kebetulan pada hari Juma’at. Semua orang cuti sebab Hari
Malaysia. Public holiday.” Tuan Haji
Qamarul sudah memulakan hujahnya.
Mendengar sahaja penerangan daripada papa Badrina,
mereka yang hadir pada perbincangan tersebut terus sahaja menganggukkan kepala
mereka tanda setuju. Ada yang cakap cadangan yang bagus. Kebetulan pula
saudara-mara mereka tidak ada yang bercadang bercuti keluar negeri pada minggu
tersebut.
Hajah Sameon terus sahaja diam. Tidak mampu berkata
apa-apa. Ternyata dia memang suda kalah kerana bantahannya tidak dipersetujui. Itu
yang Badrina sebenarnya mahu. Dia tidak suka ada yang cuba menjadi penghalang
setiap gerak gerinya sebelum dan sesudah dia dan Badrul membina masjid nanti.
Tetapi, pada petang Juma’at ini, bila Badrina
melihat ke kawasan khemah, ramai juga yang sudi datang. Jam sudah menunjukkan
pukul tiga petang. Menurut dalam jadual, bila-bila masa sahaja pihak pengantin
lelaki akan datang. Ini yang membuatkan hati Badrina semakin berdebar.
Betulkah akan keputusannya untuk berkahwin dengan
Badrul? Selepas sahaja dia sembahyang istikharah, hatinya semakin kuat
menyatakan Badrul adalah jodohnya. Mungkin dia sudah move on, tetapi ada
secebis rasa yang masih berakar di hujung lubuk hatinya bahawa dia masih
menyayangi Badrul. Sebab itu dia sanggup jadi stalker. Stalker Facebook
Afrina sebenarnya.
Tok! Tok! Tok!
Qistina sudah masuk ke dalam bilik Badrina sejurus
sahaja dia mengetuk pintu biliknya tadi. “Pengantin lelaki dah sampai.”
Bukan main kalut lagi Badrina rasa ketika itu bila adiknya
memaklumkan mengenai kedatangan keluarga Badrul. Hish, ini yang malas ni.
Badrul dari semalam sampai sekarang tidak ada memberikan pesanan ringkas
kepadanya. Entah apa dia punya angin tiba-tiba sunyi sahaja memanjang.
“Ya Allah, nervous
nervous nervous!”
Qistina siap tergelak bila melihat kekalutan daripada
kakaknya itu. “Nervous kenapa pula?”
“Nervouslah!”
makin galak lagi tawa daripada Qistina yang ketika itu sibuk menilik dirinya di
hadapan cermin besar yang terletak di sisi pintu.
“Apa barang main nervous-nervous
ni kak Rina. Selalu tiap-tiap hujung minggu bukan main lagi berkepit jalan
pergi dating. Kalau akak balik dari outstation, abang Badrul juga yang
tukang jemput. Sebelum balik rumah pergi jalan dating dulu,” ujar Qistina sambil mempamerkan sengihan nakal kepada
Badrina.
“Mulut awak ini kan dik, memang akak rasa nak gasa
dengan berus dawai betullah. Adik tunggulah nanti bila adik kahwin. Akak akan
buli adik kaw-kaw punya. Biar adik rasa!”
Tiba-tiba pintu bilik Badrina dibuka dari luar. Puan
Katrina terus sahaja masuk ke dalam bilik anak perempuannya itu. “Kak Rina
dipanggil ke bawah ya sayang. Acara nikah dah nak mula.”
Dengan arahan itu, Badrina terus sahaja memakai
kasut tinggi dan bunganya. Selepas itu, Puan Katrina dan Qistina memimpin
Badrina turun ke bawah di ruang tamu, di mana Badrul dan semua ahli keluarganya
berkumpul. Badrina ditempatkan tidak jauh di belakang Badrul di mana belakang
badan lelaki itu menghadapnya kini.
[Sekadar gambar hiasan]
Sepanjang acara pernikahan tersebut, suasana di
kawasan rumah mereka redup sahaja. Kelihatan begitu tenang. Para tok kadi, wali
iaitu Tuan Haji Qamarul dan juga saksi-saksi begitu sibuk di hadapan mereka.
“Badrul Ilham bin Ramlee.”
“Saya.”
“Saya nikahkan kepadamu anak kandung saya Nur
Badrina binti Haji Qamarul dengan mas kahwinnya RM 500 tunai.”
Suara Tuan Haji Qamarul begitu lantang dan jelas
dipendengaran masing-masing. Ijab dilafazkan oleh Tuan Haji Qamarul, hati
Badrina menjadi rapuh. Air matanya pada hari ini lancar sahaja keluar dari tubir
matanya. Apatah lagi dia amat manja dan rapat dengan papanya sendiri. Nasib
baik semua make-up yang dia pakai
adalah kalis air. Qistina pula sibuk mengeluarkan air mata sambil menyuakan
tisu kepada Badrina. Puan Katrina pula kelihatan kental di sisi Badrina.
“Saya terima nikahnya Nur Badrina binti Haji Qamarul
dengan mas kahwinnya RM 500 tunai.”
Apabila kedua-dua saksi menganggukkan kepala mereka
masing-masing, “Alhamdulillah.”
Semakin
mengalir lagi air mata Badrina sehingga Puan Katrina dan Qistina terpaksa
menenangkan Badrina ketika itu juga. Dengan lafaz itu, syurganya bertukar
daripada seorang ayah kepada seorang suami. Dengan lafaz itu, statusnya yang
bujang bertukar menjadi seorang isteri. Isteri kepada Badrul Ilham.
Dari
hujung mata Badrina juga, dia boleh melihat Tuan Haji Qamarul turun mengalirkan
air mata tetapi dapat ditahan. Badri pula setia berada di samping papanya.
Terlepas tanggungjawab yang dipikul selama 25 tahun begitu berat hati seorang
ayah rasakan. Kalau boleh dia mahu mengalas tanggungjawab tersebut sampai
bila-bila. Tetapi dalam masa yang sama juga dia amat bersyukur apabila tanggungjawab
itu diberikan kepada lelaki yang baru sahaja menjadi suami kepada puteri
sulungnya.
“Assalamualaikum
sayang,” bisik Badrul ketika acara membatalkan air sembahyang.
Mata
Badrina yang sembab semakin mencantikkan lagi wajah pengantin perempuan ketika
itu. Hidung merah. Pipi merah. Badrul menjadi semakin terpikat. Hati Badrina
juga turut terdetak tika melihat penampilan Badrul yang bertambah segak hari
ini. Handsomelah pula dia tengok. Rambut
bukan main smart.
“Waalaikumsalam,”
balas Badrina juga dengan bisikan yang hanya mereka berdua sahaja mampu
mendengar.
“Kenapa
menangis ni?” tanya Badrul. Main bisik-bisiklah pula pasangan pengantin ini.
“Sedih
dan happy.”
“Dengan
nama Allah, saya janji akan jaga sayang sampai akhir hayat saya.”
“Terima
kasih. Saya janji akan jaga awak sepertimana seorang isteri melayan seorang
suami.”
Lebar
senyuman Badrul bila mendengar panggilan Badrina kepadanya. Sudah bertukar.
Dahulu main I-you. Sekarang saya-awak
pula.
“Sudah-sudahlah
tu main bisik-bisik wahai pengantin. Kami dah lama tunggu korang masukkan
cincin ni. Main tentang-tentang matalah pula diorang berdua ini,” satu suara
besar menegur dari belakang membuatkan semua para tetamu ketawa dengan
kenyataan itu.
[Sekadar gambar hiasan]
Badrul
tahu akan suara itu. Suara sahabat baiknya, si Ariffin yang mulut tidak ada
insuran langsung. Nanti kau ya.
Cincin
sudah cantik tersarung di jari manis Badrina, begitu juga dengan Badrul. “Lembutnya
tangan sayang.”
“Gatal.”
“Alah,
gatal dengan isteri sendiri, tak salah kan,” senyuman nakal sudah mula terbit
di bibir Badrul.
Setelah
semua saudara maranya puas bergambar dengan pasangan yang baru sahaja bernikah,
mereka terus sahaja ke khemah untuk menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak
pengantin. Kini hanya tinggal Badrul dan Badrina sahaja duduk di atas pelamin
kecil mereka.
“Kenapa
tak Whatsapp saya dari semalam?”
tanya Badrina.
“Nak
tumpukan perhatian lebih.”
“Kenapa
pula?”
“Saya
kena praktis untuk lancarkan akad nikah. Malulah nanti kalau buat dua tiga
kali,” mengherot terus bibir Badrina tatkala mendengar alasan daripada
suaminya. Suami? Janggal rasanya tetapi dia harus biasakan.
“Exaggerated saja lebih dia ini kan,”
tangan Badrul mula merangkul pinggang Badrina. Bukan main tersentak lagi si
pengantin perempuan bila suaminya tiba-tiba sahaja buat begitu tanpa amaran.
Namun, reaksi terkejut itu terus sahaja bertukar dengan raut wajah yang penuh
dengan kasih sayang. Lama mereka bertentangan mata sehingga tidak menyedari photographer mereka sudah kembali ke
ruang tamu selepas menjamu selera tadi.
Klik!
“Cantik
moment tadi. Ok Encik Badrul dan Puan Badrina, bersedia untuk beraksi,” ucap si
tukang gambar yang diupah oleh mereka berdua.
Sepanjang
hari itu jenuh juga melayan segala permintaan daripada si tukang gambar.
Selepas itu rakannya yang ditugaskan untuk mengambil video juga membuat kerjanya. Badrul dan Badrina pun apa lagi, kalau
sudah dua-dua pun otak sporting,
habis segala gaya mereka buat.
TANGISAN daripada gadis yang duduk di sebelah Hajah Sameon
kini masin belum berhenti. Puas wanita tua itu memujuk, tapi semakin dipujuk,
semakin kuat pula cucu perempuannya ini meraung, meratapi nasib dirinya.
“Azmina,
jangan menangis lagi ya sayang. Terimalah Adul bukan jodoh dengan Azmina. Nanti
nenek carikan lelaki yang sesuai dengan Azmina ya.”
Selepas
sahaja mereka menikmati jamuan yang dihidang oleh para tetamu, Hajah Sameon dan
Azmina langsung sahaja meminta izin untuk pulang. Dengan alasan yang
dibuat-buat pening untuk ke klinik, Hajah Sameon dan Azmina pergi balik terus
ke rumah Hajah Sameon.
Azmina
yang memandu kereta miliknya itu, masuk sahaja ke dalam kereta dari sampai ke
perkarangan rumah, gadis itu tidak berhenti menangis.
“Tapi Azmina sayangkan abang Badrul nek. Azmina
cintakan dia. Hati Azmina sakit nek. Sampai hati abang Badrul putuskan
pertunangan kami hanya kerana isteri dia sekarang.”
Hajah Sameon mengeluh kesal. Dia sendiri pun tidak
tahu kenapa cucu sulungnya itu bertindak untuk memutuskan pertunangan di antara
mereka berdua. Dahulu ketika dia menyuruh Badrul bertunang dengan Azmina,
mula-mula memang kena bantah, tetapi dengan kuasanya yang ada di dalam keluarga
mereka, Badrul akur dengan keputusannya.
Tetapi sekarang, entahlah. Apatah lagi dengan adanya
Badrina yang bijak sahaja berkata-kata menghalang semua bantahannya, dia rasa
dia kalah.
Melihat tangisan Azmina yang belum berhenti, hatinya
kuat ingin menemukan Badrul dan Azmina semula. Manalah tahu mungkin ada jodoh
di antara mereka berdua. Badrul pula dari segi kawangan memang mampu untuk
berkahwin empat. Kalau tidak dapat Badrul juga, dia akan cari lelaki yang lebih
layak daripada Badrul. Biar mereka semua berputih mata.
“Apa kurang Azmina ini nenek?”
“Azmina tidak ada yang kurang. Adul itu sahaja yang
buta tidak reti menilai kebaikan Azmina sendiri.”
Tak apa, dia akan tengok, di mana kehebatan Badrina
itu sebenarnya. Tunggulah nanti.
=============================================
Selamat Hari Malaysia~~~
No comments:
Post a Comment