Tuesday, 19 May 2015

His Independent Girl - [Bab 13]



Bab 13


MUKA pintu dihempas dari luar sehingga membuatkan bahu Adira terhenjut ke atas. Adira yang ketika itu sedang duduk di ruang tamu sambil membuat kerjanya terkejut bila melihat wajah Najwa seperti orang yang baru sahaja berperang.
            Memandangkan ruang tamu mereka kecil, Adira dapat melihat reaksi muka temannya itu dengan jelas. Penuh dengan kebencian. Kenapa pulak ni?
            “Dah kenapa kau ni Najwa? Period?
            “Diam lah!” jerit Najwa sambil membuka jaket yang tersarung ditubuhnya lalu dilontarkan ke bawah dengan kuat. Taklah kuat mana sebenarnya, tenaga seorang perempuan.
            Adira lantas berhentikan kerjanya lalu menghadapkan tubuhnya menuju ke arah Najwa yang sudah berbaring di atas katil bujangnya. Adira bertenang. Orang kalau dah panas macam ini, kenalah jadi air buat seketika. Kalau ikutkan hati Adira yang sememangnya bersifat agresif, memang dah kena Najwa ni dia kerjakan. Penampar sulung dia bagi. Orang tanya elok-elok dia pulak jawab tak seberapa nak beradab.
            Tidak pernah dia melihat Najwa seperti orang tidak betul begini. Selalunya balik-balik ke asrama kalau tak cerita pasal kuliah mesti cerita mengedik pasal Tengku Iffat. Adira mencuba nasib untuk bertanya lagi. “Cuba kau beritahu dekat aku, pasal kenapa kau macam ini?”
            Najwa merengus kasar. Sebal dia akan soalan yang ditujukan oleh teman sebiliknya itu. “Tak ada apa-apalah Dira,” cuba untuk tidak berkasar seperti tadi.
            Kening Adira sudah berkerut bila mendengar jawapan daripada Najwa. Nampak sangat dia tengah mengelak. Namun, Adira cuba lagi sekali. “Betul ke kau tak apa-apa ni Najwa?”
            “Yelah! Degil sangat ni kenapa hah?” Najwa sudah hilang sabar sambil merengus kasar. Tidak suka ditanya dengan lebih lanjut.
            “Hah,” anak mata Adira sudah membulat. Tidak percaya. Ewah ewah Najwa, kau belum tahu siapa Adira agaknya ya. Senang benar kau nak naik suara dengan aku.Mentang-mentanglah selama ini aku cool sahaja. Adira menjeling tajam sambil berlalu daripada situ. Gila. Lepas ni memang aku cari roommate baru agaknya.
            Adira kembali ke ruang tamu lalu mencapai telefon bimbitnya. Hendak mengadu kepada si tunang. Adu punya adu, dia turut menerima berita yang mengejutkan. Firdaus mengatakan bilik pejabat MPP diceroboh habis. Semua komputer-komputer dan dokumen-dokumen penting Shasha hancur dimakan mesin paper shredder.
            Adira menunggu gambar yang dihantar oleh tunangnya. Tidak lama kemudian, ada satu gambar masuk. Tanpa membuang masa Adira menekan untuk memuat turun gambar itu. Terkejut Adira bila melihat gambar yang baru sahaja diterimanya.
            Ini betul-betul sudah melampau.
            Firdaus lantas menghantar satu gambar lagi yang ada dengan penceroboh. Gambar yang diambil ketika melihat rakaman CCTV. Bila melihat logo yang dimaksudkan itu, mata Adira membesar. Tidak percaya. Mulutnya sudah melopong. Terus matanya melihat Najwa yang masih diam sambil berbaring di atas katil bujangnya. Tak kan lah dia? Tanpa membuang masa Adira mengemaskan tempatnya belajar tadi, bersiap-siap untuk keluar. Jumpa Firdaus. Tanpa pamitan, Adira keluar daripada bilik itu.      
            Najwa yang sedar muka pintu utama di buka hanya mendonggakkan kepalanya melihat Adira berlalu. Dah kenapa perempuan itu? Huh. Malas aku nak fikir.


FIRDAUS nampak Adira berlari anak bila gadis itu sudah terlihat kelibat tunangnya di kafe tersebut. Hairan dia tadi bila mereka asyik berbalas mesej, tiba-tiba Adira mahu berjumpanya di tempat biasa dengan keadaan tergesa-gesa. Nasib baik dia sudah habis membuat perbincangan dengan Tengku Iffat, Shasha dan Erma.
            Adira menghela nafas panjang bila dia sudah selamat duduk berhadapan dengan Firdaus. Lega.
            “Kenapa ni? Nah hun dah order minuman,” ujar Firdaus sambil menyuakan jus avocado kepada Adira. Tanpa membuang masa Adira menyedut minuman kegemarannya itu sehingga setengah gelas. Haus.
            “Hun, bee nak tengok rakaman CCTV tu boleh?” cadang Adira bila dia sudah selesai minum minumannya sehingga setengah gelas. Firdaus sudah berkerut dahi.
            “Sebab?”
            “Bee macam kenallah siapa penceroboh tu. Logo tu lah macam familiar.” Adira cuba untuk tidak membuat keputusan melulu. Apa yang di dalam fikirannya sedaya upaya dia buang sedari tadi.
            “Shasha pun cakap macam itu lah bee. Dia macam familiar dengan logo tu. Bee tahu ke siapa yang pakai jaket dengan logo tu?” mendengar nama Shasha, hati Adira bergetar hebat. Habislah kalau Shasha tahu siapa orang tu, kalau telahannya benar belaka. Siapa tidak kenal akan baran gadis yang bernama Shasha. Semua orang kenal. Semua orang gerun.
            Laju Adira menggelengkan kepalanya, menidakkan pertanyaan tunangnya. Belum ada bukti yang kukuh.
            “Hun minta maaf bee, bee tak boleh tengok rakaman CCTV tanpa kebenaran Iffat atau Shasha. Kalau bee nak tengok juga, bee tanyalah diorang berdua,” ya, itulah arahan yang keluar daripada Tengku Iffat, malah rakaman itu dipegang oleh Tengku Iffat.
            Adira semakin resah. Alaaa, kenapa rakaman itu Tengku Iffat yang pegang. Makinlah susah dia mahu menyiasat.
            “Hun…” Adira ragu-ragu. Jus avocado sudah dikacau-kacaunya dengan rasa yang tidak tentu. Firdaus hanya memandang tunangnya dengan rasa hairan.
            “Hun boleh tak ambil rakaman tu? Takutlah nak tanya dekat Iffat.”
            “Lah, kenapa pulak nak takut. Habis-habis dia tanya saja pasal kenapa nak tengok rakaman tu. Bee beritahulah bee macam tahu logo tu. Kan senang.”
            ‘Senang dia kata,’ getus hati Adira. Wajahnya sudah mendung. Tiada harapan sungguh kalau tunang sendiri tidak memberi kerjasama. Macam mana ni. Kalau tanya dekat Tengku Iffat kena hadap seribu satu soalan, kalau tanya dekat Shasha lagilah dia takut. Shasha jenis yang mudah menangkap dengan cepat. Baru dibagi dua tiga hint kang, dia boleh teka siapa yang dimaksudkan. Apatah lagi Shasha juga seperti tahu akan logo itu, mungkin dia hanya menunggu masa untuk trigger the memory mengenai logo yang sudah menjadi misteri bagi mereka berempat. Tapi tidak Adira, sebab dia tahu siapa yang memakai jaket dengan logo itu. Najwa! Baru tadi dia tengok.
            “Hish hun ni, tak membantu langsunglah.” Adira sudah merunggut. Pura-pura merajuk, manalah tahu hati tunangnya bertukar menjadi lembut.
            “Apa pulak tidak membantu. Membantulah tu, hun tolong telefon Iffat untuk bagi bee tengok rakaman tu.”
            “Janganlah. Bee takut dengan Iffatlah.”
            Firdaus diam. Adira sudah tidak tentu rasa. Dah kenapa tunang dia ni. Dia ada buat salah ke? Atau…
            “Jangan beritahu hun, bee yang dalam rakaman tu.” Firdaus menyerkap jarang.
            “Apa ni hun?” terjerit Adira bila Firdaus mengemukakan soalan tersebut. Hish! Jahat betullah tunang dia ni. Sanggup dia terfikir macam itu.
            “Habis tu yang bee takut-takut ni kenapa?”
            “Emmm…” makin laju Adira mengacau jus avocadonya yang sudah semakin habis. Firdaus tahu makna perlakuan itu. Adira rasa bersalah dan was-was. Apa yang gadis ini mahu beritahu sebenarnya.
            “Cuba beritahu hun. Sekarang di kafe ini hanya kita berdua sahaja,” tenang Firdaus.
            “Nanti ada orang dengar.”
            “Apa pulak ada orang dengar. Ini bukan macam cerita dalam TV, orang bercerita yang boleh didengar dari dua tiga meja jauhnya. Tengok sekarang kita di mana, bukan di tengah-tengah dunia,” jelas Firdaus lagi, ingin meyakinkan Adira untuk bercerita dengan lebih lanjut.
            “Tak nak lah. Nanti sajalah.”
            “Sayang, kalau macam inilah gayanya, mahu hun telefon Iffat sekarang juga. Biar bee yang jelaskan sendiri dekat Iffat. Mahu begitu?” ugut Firdaus. Degil betul. Orang dahlah pening nak selesaikan hal mengenai pencerobohan itu. Adira pula seperti mahu bermain tarik tali dengannya. Geram betul dibuatnya.
            “Janganlah.” Adira sudah merayu. Ish, macam mana ni. “Bee takut dengan Iffat lah kalau hal-hal begini. Dia tu garang.”
            “Habis tu, mahu hun telefon Shasha pulak?”
            “Jangan!” laju sahaja Adira membantah bila nama gadis itu diutarakan oleh Firdaus.
            “Then?
            “Bee.. Bee…”
            “Apa?” Firdaus lantas mengejutkan Adira dengan membesarkan suaranya sedikit. Main-main pulak Adira ni.
            “Bee tahu siapa yang pakai jaket dengan logo ni,” akibat terkejut, laju sahaja Adira melontarkan apa yang dari tadi di dalam fikirannya.
            “Siapa?” kali ini Firdaus dan Adira kaku di tempat duduk mereka. Statik!
            “Adira, siapa yang awak maksudkan orang yang pakai dengan jaket logo itu?” sekali lagi soalan itu dilontarkan.
            Akan tetapi…
            Mereka berdua kenal dengan suara itu. Kenal sangat. Dan suara itu adalah suaranya dalam keadaan marah. Firdaus gusar. Adira takut.

            Tolong!


=================================


HAKCIPTA TERPELIHARA

Tidak dibenarkan mana-mana bahagian dari terbitan / blog ini diterbitkan / dibuat semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukar dalam apa-apa bentuk atau dengan apa jua alat sekalipun tanpa kebenaran bertulis daripada pihak penulis atau daripada pihak bakal penerbit yang asli.

No comments:

Post a Comment